arena

Siti, Emma hampiri emas

Oleh Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid

 

SITI Zalina Ahmad dan Emma Firyana Saroji memastikan skuad boling padang negara melangkah ke final acara pairs wanita selepas menewaskan gandingan Kanada, Leanne Chinery-Kelly McKerihen 18-5 pada aksi separuh akhir di Broadbeach Bowls Club hari ini.

Tampil yakin selepas menewaskan gandingan India, Lovely Choubey-Rupa Rani Tirkey 17-11 pada aksi suku akhir, Zalina-Emma mendominasi perlawanan separuh akhir untuk memastikan laluan ke final.

Esok, mereka akan menentang gandingan Afrika Selatan yang mengecewakan Scotland 18-10.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi Muhammad Soufi Rusli yang tewas di suku akhir singles lelaki di tangan pemain Scotland Darren Burnett, 13-21.

Scotland sekali lagi menjadi ranjau skuad fours lelaki negara yang dibarisi Mohamad Syamil Syazwan Ramli, Zulhilme Redzuan, Muhammad Hizlee Abdul Rais dan Fairul Iswan Abd Muin apabila tewas 12-13 pada suku akhir.

“Alhamdulillah, sebelum permainan kami melakukan perancangan dan ia menjadi," kata Emma.

“Sukar untuk lawan bangkit kerana kami tetap bertahan dan bila mereka bangkit, kami akan menghalang mereka.”

Bagi Zalina, biarpun emas kini menjadi sasaran berikutnya, ia tidak memberikan tekanan kepada mereka.

“Esok kita akan beri yang sebaik mungkin dan lihat apa akan terjadi,” katanya.

“Kita tidak nafikan Afrika Selatan pasukan yang kuat tetapi kita tidak mahu memandang rendah kemampuan kami sendiri dan matlamat kami memang mahukan emas.”

Disiarkan pada: April 12, 2018 @ 9:54pm
d