arena

Tze Liang gagal pertahan emas

Oleh Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid

DENDAM atlet England, Jack Laugher terhadap Ooi Tze Liang di Sukan Komanwel akhirnya terbalas apabila wakil Malaysia itu gagal menghadirkan ancaman serius dalam acara 3 meter papan anjal, hari ini.

Tze Liang mengejutkan Laugher apabila memenangi acara sama pada edisi 2014 di Glasgow tetapi kali ini, dia hanya menamatkan saingan di tangga ke-10 selepas 10 terjunan dan mengumpul 373.75 mata, satu tempat di depan rakan senegara, Chew Yiwei (347.20).

“Saya sudah cuba melakukan yang terbaik, tetapi tidak konsisten di final. Sukar untuk saya terangkan. Ia isu mental. Tiada gangguan lain.

“Saya perlu kembali dan mencari penyelesaian,” kata Tze Liang.

Laugher memenangi emas dengan 519.40 mata diikuti penerjun Kanada, Philippe Gagne (452.70) dan wakil Australia, James Connor (438.50).

Sementara itu, Yiwei pula berkedudukan agak baik sehinggalah terjunan ketiga apabila dia melakukan beberapa kesilapan menyebabkan mata dipotong.

“Saya terlalu memberi tekanan terhadap diri sendiri ketika acara itu dan badan saya tidak mampu menanganinya.

“Saya mahu melakukan rutin yang bagus dan terjunan sempurna tetapi selepas terjunan ketiga yang teruk, semuanya tidak menjadi buat saya,” kata Yiwei.

Disiarkan pada: April 12, 2018 @ 10:09pm
d