arena

Williams mahu pecut di China

Oleh Reuters

SHANGHAI: Dua pemandu Williams, Lance Stroll dan Sergey Sirotkin berharap dapat meraih keputusan positif menjelang Grand Prix (GP) China selepas kedua-duanya membuka tirai saingan Formula Satu (F1) musim ini dengan prestasi paling buruk.

Williams menduduki tangga terbawah selepas dua pusingan dengan muncul satu-satunya pasukan yang belum meraih mata.

Kali terakhir Williams gagal meraih mata pada dua perlumbaan pertama adalah pada 2013.

GP Bahrain jelas memberi kesukaran kepada Williams dengan Stroll dan Sirotkin masing-masing menamatkan saingan di kedudukan terakhir.

Mereka menduduki tempat ke-14 dan 15 selepas hukuman penalti dikenakan ke atas pemandu Force India, Sergio Perez dan pemandu Toro Rosso, Brendon Hartley.

“Di Bahrain amat mengejutkan betapa kami agak terkebelakang,” kata Stroll yang baru beraksi pada dua perlumbaan F1.

“Banyak yang perlu kami lakukan terutama di laluan lurus, kawalan pemanduan dan sebagainya,” katanya.

Sirotkin pula menyifatkan pengalaman di Bahrain lebih positif untuk Williams.

“Ia mungkin nampak teruk apabila melihat kepada keputusan yang kami raih tetapi bagi saya segala-galanya agak positif kerana kami dapat menjalinkan kerjasama baik bersama rakan sepasukan lain.”

Disiarkan pada: April 13, 2018 @ 12:49pm
d