arena

Kelantan tagih 'darah baharu'

Oleh Attirmidzie Rahman

KETUA jurulatih Kelantan, Fajer Ebrahim mempertaruhkan 'darah baharu' dalam pasukannya untuk berdepan Negeri Sembilan dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.

'Darah baharu' yang dimaksudkan jurulatih kelahiran Damascus, Syria itu adalah beberapa pemain muda yang diserapkan ke dalam skuad senior untuk mengalas cabaran The Red Warriors (TRW).

Katanya, selepas membuat rombakan, beliau tidak bimbang dengan ketiadaan beberapa pemain senior kerana sudah merencanakan sesuatu yang berkesan buat pasukan.

"Saya berpuas hati dengan pemain yang ada sekarang. Kelantan mempunyai ramai pemain muda yang berbakat cuma mereka perlu diberi peluang untuk dikembangkan.

"Jadi, untuk persiapan perlawanan nanti saya cuma mahukan mereka ikut segala apa yang dirancang dan patuh segala peraturan saya.

"Jika mereka ikut setiap yang diberitahu dan beri perhatian pada perlawanan ini, pasti tiga mata berada dalam tangan kita," katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di sini, hari ini.

Fajer berkata, pihaknya tidak akan memberi peluang yang mudah kepada Negeri Sembilan malah bertekad akan memberi tentangan sengit dalam perlawanan itu.

"Falsafah saya, setiap perlawanan adalah bermain untuk menang, tidak kira kita bermain dengan siapa, di gelanggang kita atau di tempat lawan, saya mahu semua pemain melakukan terbaik.

"Saya sudah melihat beberapa perlawanan membabitkan Negeri Sembilan dan mereka mempunyai corak permainan seperti Kelantan. Justeru, saya menuntut pemain fokus untuk mendapat tiga mata berharga malam esok," katanya.

Disiarkan pada: April 13, 2018 @ 4:12pm
d