arena

Bayern lawan Real Madrid, Liverpool jumpa Roma

Oleh AFP

JUARA bertahan, Real Madrid akan bertemu Bayern Munich pada separuh akhir Liga Juara-Juara dan Liverpool akan berdepan AS Roma.

Skuad disertai Cristiano Ronaldo, Real akan bertemu Bayern di Allianz Arena untuk perlawanan pertama manakala Liverpool menanti kehadiran Roma di Anfield pada perlawanan pertama selepas undian sebentar tadi.

Real yang memenangi kejohanan itu sebanyak 12 kali, mara ke separuh akhir dengan menafikan kebangkitan Juventus sebelum Ronaldo menjaringkan penalti lewat permainan seterusnya memberikan mereka kemenangan 4-3 secara agregat.

Roma menampilkan satu daripada kebangkitan paling hebat dalam sejarah Liga Juara-Juara untuk menewaskan pasukan Lionel Messi, Barcelona menerusi kemenangan 3-0 di ibu kota Itali yang memberikan kemenangan tidak dijangka selepas dua perlawanan.

Juara Bundesliga, Bayern yang menamakan Niko Kovac selaku jurulatih baharu mereka beberapa minit sebelum undian mengatasi Sevilla pada suku akhir.

Liverpool menewaskan pendahulu Liga Perdana, Manchester City 5-1 secara agregat seterusnya diundi berdepan Roma, ulangan pertembungan final Piala Eropah 1984 yang dimenangi pasukan England itu menerusi penalti.

Aksi separuh akhir peringkat pertama berlangsung pada 24-25 April dan peringkat kedua pada 1-2 Mei.  

 

Disiarkan pada: April 13, 2018 @ 8:03pm
d