arena

Nidzam teruja aksi Kedah

Oleh Izzali Ismail 

JURULATIH Kedah, Nidzam Adzha Yusoff memuji persembahan pemainnya susulan kejayaan membenam Selangor 4-0 di Stadium Darul Aman, semalam. 

Nidzam berkata dia berpuas hati dengan aksi penuh semangat anak buahnya yang kekal fokus mengikuti perancangan sepanjang perlawanan berkenaan. 

"Saya teruja dan bersemangat melihat mereka beraksi dengan baik malam ini dan  saya puji semua pemain termasuk barisan pertahanan yang beraksi mengikut apa yang sudah dirancang.

"Antara perancangan awal adalah memperkemaskan corak hantaran pendek yang diamalkan Kedah sebelum ini dan kami juga mengambil kesempatan atas rehat yang panjang untuk menguatkan pertahanan dan keseluruhan corak permainan," katanya. 

Nidzam juga mengakui beliau tidak meletakkan jumlah sasaran gol pada perlawanan itu sebaliknya  hanya menekankan fokus mencari tiga mata sebagai matlamat utama. 

"Saya tidak meletak sasaran jumlah gol dan hanya mahu semua pemain turun dengan penuh disiplin serta fokus yang tinggi untuk mendapatkan tiga mata.

"Walaupun kita bermain tanpa kelibat Liridon Krasniqi yang tidak dapat beraksi pada malam ini, pemain gantian menunjukkan persembahan yang cemerlang dan mereka berjaya menyumbangkan kejayaan kepada pasukan."

"Kita sedar Selangor memiliki kekuatan di beberapa posisi antaranya serangan yang pantas dan 'set piece' di mana ini antara perkara yang kita terpaksa beri perhatian dan penekanan  yang lebih terutama kepada pemain jersi nombor 10 dan 17," katanya lagi.

Kata Nidzam, fokusnya selepas ini adalah membuat persiapan rapi sebelum bertandang ke Terengganu pada penghujung bulan ini untuk aksi seterusnya bertemu Terengganu FC. 

Ujarnya skuad Lang Merah juga merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Pulau Pinang untuk memantapkan persediaan sebelum bertandang ke Terengganu. 

Disiarkan pada: April 14, 2018 @ 3:41pm
d