arena

Chong Wei 'mandi peluh'

Oleh Ajitpal Singh & Nor Hairulnizam Wahid

GOLD COAST: Datuk Lee Chong Wei menamatkan badi kekalahan kepada HS Prannoy selepas pilihan kedua acara perseorangan lelaki di Sukan Komanwel itu mencatat kemenangan 21-16, 9-21, 21-14 di separuh akhir sekali gus menempah tiket final di Pusat Sukan dan Riadah Carrara, hari ini.

Chong Wei bakal bertemu pemain ranking pertama dunia, K Srikanth dari India yang menewaskan wakil England, Rajiv Ouseph 21-10, 21-17 pada satu lagi saingan separuh akhir.

Pertembungan Chong Wei-Srikanth esok dijangka berlangsung sengit dengan lawannya itu diletakkan selaku pilihan selepas menewaskan Chong Wei pada acara berpasukan campuran.

 "Selepas set pertama, saya cuba untuk bangkit semula di set kedua selepas Prannoy mendahului 11-4. Bagaimanapun, saya ambil keputusan untuk bangkit semula di set penentuan selepas ketinggalan agak jauh.

 "Saya mengerah lebih banyak tenaga di set penentuan kerana tidak mahu tewas dan beraksi di penentuan pingat gangsa.

 "Saya cuba menyaingi kepantasannya dan mencuba sebaik mungkin kerana ini adalah Sukan Komanwel terakhir untuk saya," katanya.

 Mengulas aksi final, Chong Wei berkata: "Srikanth adalah pemain nombor satu dunia, jadi tekanan yang lebih kepada dia.

 "Saya akan cuba yang terbaik. Saya mahu menamatkan aksi di Sukan Komanwel dengan pencapaian yang bagus.”.

 Dalam acara beregu wanita, Chow Mei Kuan-Vivian Hoo turut melangkah ke pentas final selepas menewaskan wakil India N Sikki Reddy-Ashwini Ponnappa 17-21, 21-15, 21-4 dan akan bertemu pasangan England, Lauren Smith-Sarah Walker untuk penentuan emas.

Disiarkan pada: April 14, 2018 @ 3:52pm
d