arena

'Hati-hati dengan Sabah'

Oleh Ryan Stanley

PENGENDALI FELDA United, B Sathianathan tidak memandang mudah cabaran Sabah sebaliknya menyifatkan pasukan berkenaan antara yang terkuat dalam saingan Liga Perdana, musim ini.

Katanya, skuad kendalian Jelius Ating itu menunjukkan peningkatan ketara dan mahu anak buahnya lebih berhati-hati bertemu pasukan tuan rumah di Stadium Likas, malam ini.

"Sabah memiliki skuad yang kuat, pertahanan mereka antara yang terbaik dalam liga setakat ini dan juga menjaringkan banyak gol. Bagi saya, Sabah sepatutnya bermain di liga yang lebih atas.

"Bagaimanapun, kita akan melakukan yang terbaik untuk perlawanan malam ini. Walaupun persiapan agak kurang, saya yakin kami mampu memberi tentangan hebat kepada Sabah," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Sathianathan berkata, jadual perlawanan yang padat menjejaskan sedikit persiapan namun mereka sudah biasa dengan keadaan itu.

"Kami terpaksa mengharungi tujuh perlawanan dalam masa tiga minggu, pemain lebih banyak melakukan pemulihan berbanding persiapan taktikal. Bagaimanapun, saya yakin dengan semua pemain dan mereka bersedia untuk mengharungi mana-mana perlawanan," katanya.

Sementara itu, menurut kapten FELDA United, Shukor Adan, bermain di gelanggang lawan bukanlah satu masalah kepada mereka pada musim ini.

"Daripada enam perlawanan, empat adalah di gelanggang lawan manakala dua lagi di gelanggang sendiri dan kami menang semua perlawanan itu. Kami akan buat yang terbaik dan sudah pastinya kami mahu mencipta kemenangan untuk mengukuhkan kedudukan seterusnya mencapai misi layak ke Liga Super musim depan," katanya.

Disiarkan pada: April 14, 2018 @ 5:06pm
d