arena

Fokus slot Olimpik

Oleh Amin Ridzuan Ishak

SELEPAS berjaya merangkul emas pada Sukan Komanwel Gold Coast 2018 baru-baru ini, Muhammad Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad memasang impian mahu melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Anak kelahiran Sungai Puteri di sini yang berusia 24 tahun itu berkata, untuk mencapai sasaran berkenaan dia perlu mengumpul mata diperlukan bagi melayakkan diri bertanding di temasya berprestij berkenaan dan berentap dengan atlet bertaraf dunia lain.

“Saya dapat mengumpul mata di Sukan Komanwel Gold Goast dan selepas ini saya fokus kepada Sukan Asia di Indonesia pada Ogos dan Kejohanan Dunia di Thailand, November ini.

“Dua kejohanan berkenaan adalah peluang untuk saya mengumpul mata bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik dan kejayaan di Sukan Komanwel sudah tentu memberi semangat bagi mencapai sasaran itu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu, Muhammad Azroy Hazalwafie menerima insentif RM10,000 daripada Majlis Sukan Pahang (MSP) di atas kejayaan memenangi emas di Gold Coast yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Turut menerima insentif MSP adalah pemenang pingat gangsa angkat berat kategori 85 kilogram di Gold Goast, Mohamad Fazrul Azrie Mohdad,23, yang menerima RM5,000.

Pada 5 April lalu, Muhammad Azroy melakar sejarah tersendiri apabila muncul atlet pertama negara meraih pingat emas dalam temasya berkenaan apabila mengungguli kategori 56 kilogram (kg).

Lebih bermakna, dia turut memecahkan rekod dua rekod Sukan Komanwel, kedua-duanya milik Amirul Hamizan Ibrahim dalam acara snatch dan keseluruhan.

Sementara itu, Muhammad Azroy berterima kasih kepada kerajaan negeri dan MSP di atas insentif berkenaan yang dianggap sebagai pembakar semangat kepadanya untuk mencapai lebih banyak kejayaan.

“Saya akan menggunakan wang ini untuk membantu keluarga dan mengadakan doa kesyukuran,” katanya.

Disiarkan pada: April 14, 2018 @ 5:36pm
d