arena

Selar sikap tak profesional MU

Oleh Malik Muhamad

PEMAIN Terengganu FC (TFC) mengakui kecewa dengan sikap tidak profesional pemain Melaka United (MU) yang tetap meneruskan permainan biarpun menyedari seorang pemain lawan mengalami kecederaan ketika aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Pemain tengah TFC, Abdul Latiff Suhaimi berkata, tindakan pemain tuan rumah yang meneruskan permainan ketika pemain pertahanan TFC, Igor Zonjic terbaring kesakitan akibat kecederaan dilihat tidak wajar walaupun tidak menyalahi peraturan pertandingan.

Abdul Latiff berkata, sepatutnya pemain tuan rumah perlu mengamalkan semangat kesukanan yang tinggi dengan tidak meneruskan permainan apatah lagi ketika itu situasi bola berada di luar padang sebelum balingan ke dalam dilakukan.

“Kami tidak mahu menyalahkan keseluruhan pemain skuad itu yang tidak mempedulikan Zonjic yang cedera tapi bagi kami tindakan pemain Melaka itu yang meneruskan permainan adalah tidak wajar kerana ada pemain lawan terbaring akibat kecederaan.

“Kebiasaannya apabila seseorang pemain lawan cedera apatah lagi ketika itu situasi bola berada di luar padang, sebagai pemain kita perlu ada semangat ‘fair play’ dan melihat situasi semasa. Mungkin pihak lawan mengamalkan taktikal bermain secara cepat ketika mendapat hantaran bola masuk atau sepakan percuma selain ketinggalan ketika itu menyebabkan pemain mereka tidak menghiraukan Zonjic yang cedera sebaliknya meneruskan permainan,” kata Latiff.

Insiden yang menimbulkan kemarahan pemain TFC itu berlaku pada minit ke-48 ketika skuad Penyu mendahului lawan dengan satu gol sebelum berjaya menambah dua lagi jaringan untuk mencatat kemenangan bergaya 3-0. Nada sama disuarakan kapten, Kipree Tchetche yang menyatakan sepatutnya pasukan MU tidak meneruskan balingan bola masuk.

“Tapi mungkin mereka berada dalam posisi menyerang dan ketika itu ketinggalan menyebabkan mereka memikirkan tidak perlu membuang bola keluar, ” kata Tchetche yang meledak dua jaringan manakala satu gol lagi dihasilkan pemain tengah, Lee Tuck.

Disiarkan pada: April 14, 2018 @ 7:07pm
d