arena

Kejutan anak tukang rumah

Oleh Haika Khazi

ANAK tukang rumah, Wan Nor Akmal Mat Noor, 16, muncul juara Kejohanan Lumba Basikal Kriterium di bawah Program Pembangunan Berbasikal Remaja CIMB 2018 (JCM CIMB) untuk kategori lelaki bawah 17 tahun di sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, sebentar tadi.

Pelajar tingkatan empat Sekolah Sains Sukan Malaysia Terengganu (SSSMT) itu muncul juara selepas berjaya menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 23 minit 41 saat; diikuti pelumba Yayasan CIMB JCM (CIMB), Mohamad Justin Felix Nagel (naib juara) dan Abdul Azim Aliyas dari Negeri Sembilan di tempat ketiga.

Pelumba berasal dari Kampung Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan itu ketika ditemui nyata gembira dengan kejayaannya muncul juara biarpun mendapat saingan sengit dari pelumba lain terutama wakil CIMB, Negeri Sembilan dan Kelantan.

Bagi Wan Nor Akmal, kemenangan itu juga membakar semangatnya untuk terus berlatih dan berusaha sebaik mungkin untuk mengulangi kejayaan apabila mewakili SSSMT sekali lagi di siri perlumbaan jelajah sama di Perlis, bulan depan.

Disiarkan pada: April 14, 2018 @ 7:27pm
d