arena

'Usah leka dengan kemenangan'

Oleh Zulfaizan Mansor

 

BARISAN pemain FELCRA FC diingatkan supaya tidak leka dengan kejayaan menewaskan Pulau Pinang 3-1 pada aksi Liga Perdana di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Timbalan Presiden FELCRA FC, Datuk Hazian Murad menjelaskan skuad The Rivals perlu mengekalkan aksi cemerlang bagi perlawanan akan datang kerana perjalanan liga masih panjang.

“Alhamdulillah, kemenangan berpihak kepada FELCRA dan saya sangat bersyukur dengan kemenangan ini. Semua pemain beraksi dengan cemerlang dan berjaya mengukuhkan kedudukan pasukan dalam saingan liga.

“Saya juga mengingatkan pasukan supaya jangan terleka dengan kemenangan ini dan terus memberikan aksi cemerlang untuk perlawanan seterusnya demi menaikkan nama pasukan dan FELCRA Berhad,” katanya.

Kemenangan ke atas skuad Harimau Kumbang itu menyaksikan FELCRA yang juga pendatang baharu Liga Perdana musim ini mengekalkan rekod tanpa kalah dan mengumpul 13 mata.

Malah, The Rivals kini menghuni tangga ketiga liga dan perlu menunggu keputusan perlawanan antara pendahulu, FELDA United dan Sabah, malam ini sama ada mereka kekal atau terpaksa turun ke kedudukan keempat.

Disiarkan pada: April 14, 2018 @ 9:51pm
d