arena

Bayern belasah M'Gladbach

Oleh AFP

BERLIN: Sandro Wagner meledak dua gol ketika Bayern Munich yang sedang memburu tiga gelaran membelasah Borussia Moenchengladbach 5-1 dalam aksi Bundesliga di laman sendiri, semalam.

Selepas mengesahkan gelaran keenam berturut-turut Bundesliga pada minggu lalu dan melangkah ke kelompok empat terbaik Liga Juara-Juara, kemenangan jelas satu lagi aksi menakjubkan buat Bayern yang turut akan beraksi di separuh akhir Piala Jerman menentang Leverkusen, Rabu ini.

Wagner yang menjadi penyerang gantian untuk peledak utama Bayern, Robert Lewandowski yang berada di bangku simpanan, sudah menjaringkan tujuh gol dalam lapan perlawanan liga.

“Saya memperoleh keseronokan, saya berada di prestasi terbaik saya ketika ini dan saja menjangkakan untuk berada di Piala Dunia pada musim panas ini,” kata Wagner.

Gladbach yang menewaskan Bayern 2-1 di Borussia Park, November lalu mendiamkan penyokong tuan rumah apabila Josip Drmic berjaya menewaskan pertahanan, Niklas Suele untuk mendahului pada minit kesembilan.

Begitupun, Wagner tampil cemerlang apabila menyamakan kedudukan berpunca daripada hantaran baik Thomas Mueller pada minit ke-37 sebelum menambah gol kedua menerusi tandukan empat minit kemudian.

Bayern menambah kelebihan pada minit ke-51 menerusi jaringan Thiago Alcantara selepas penjaga gol Gladbach, Yann Sommer gagal menampan kemas cubaan Wagner.

Rayuan Gladbach untuk mendapatkan penalti juga tidak diberikan pengadil apabila Juan Bernat dijatuhkan oleh Denis Zakaria idi kawasan penalti.

Pertahanan kiri, David Alaba yang baru pilih daripada kecederaan belakang menjaringkan gol keempat Bayern daripada luar kotak penalti pada minit ke-67 menerusi rembatan kencang kaki kanannya.

Dan Lewandowski yang matanya lebam ketika perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara menentang Sevilla masuk sebagai pemain gantian untuk Wagner melengkapkan gol kelima Bayern sekali gus jaringan ke-36 miliknya musim ini.

“Kami membuat tujuh pertukaran daripada pasukan yang melawan Sevilla. Ada harmoni dan suasana di dalam pasukan adalah hebat,” kata bos Bayern, Jupp Heynckes.

Disiarkan pada: April 15, 2018 @ 12:47pm
d