arena

'Gol awal sentap kami'

Oleh Rizar Mohd Noor

PENGENDALI PKNS FC, Datuk K Rajagobal kecewa dengan persembahan barisan pemainnya selepas tewas 0-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi Liga Super, di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Menurutnya, apa yang dirancang sebelum perlawanan gagal diterjemahkan skuadnya apabila tidak mampu menandingi corak permainan skuad bimbingan Raul Longhi.

Katanya, gol awal dijaringkan oleh JDT menyentap semangat melawan pemainnya walaupun cuba memberi tentangan terutama pada 20 minit babak pertama.

"Hilang fokus dan seolah-olah hilang tenaga untuk bersaing dengan pemain JDT, malah membiarkan mereka menguasai perlawanan dan tidak beri tekanan kepada lawan.

"Apabila bersambung aksi babak kedua, kami sepatutnya bangkit dan lebih fokus tetapi apabila JDT menjaringkan gol kedua menerusi sepakan percuma, ia nyata mengubah senario permainan dan kami gagal bangkit.

"Malah JDT menguasai perlawanan dan beri tekanan menerusi gerakan pantas. Kami tidak bermain secara agresif bagi menyekat gerakan pasukan lawan sebaliknya membiarkan mereka melancar serangan berbahaya," katanya.

Rajagobal berkata ada beberapa pemainnya beraksi di bawah keupayaan sebenar malah tidak mempamerkan aksi sebenar sehingga memberi ruang kepada JDT bergerak bebas di semua posisi permainan.

Pada masa sama, beliau tidak menafikan tanpa kelibat Zac Anderson yang mengalami kecederaan, benteng pertahanan skuad Semut Merah begitu rapuh.

Dalam perlawanan itu, hanya Faris Ramli serta Jonathan Acosta yang juga antara pemain import yang menyerlah dalam perlawanan itu.

Katanya, dua lagi pemain import iaitu Romel Morales dan Rafael Ramazotti tidak bermain pada tahap sebenar dan berharap kedua-dua pemain itu segera bangkit pada aksi akan datang.

"Ada ketika pemain import mempamerkan aksi `yo-yo' tetapi tidak sangka mereka begitu mengecewakan pada perlawanan itu. Saya akan jumpa mereka untuk meningkatkan kembali keyakinan bagi membantu pasukan," kata Rajagobal.

Disiarkan pada: April 15, 2018 @ 1:31pm
d