arena

Ketua kontinjen puas hati

Oleh Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid

GOLD COAST: Ketua kontinjen negara, Huang Ying How tetap berpuas hati dengan pencapaian yang diraih di Sukan Komanwel meskipun gagal menempatkan diri dalam kelompok 10 pasukan teratas seperti yang disasarkan.

Sebaik acara badminton berakhir hari ini dan tirai temasya ditutup secara rasmi malam ini, kontinjen negara berada di tangga ke-12, dengan meraih tujuh pingat emas, lima perak dan 12 gangsa.

"Saya tidak fokus dengan jumlah pingat, sebaliknya saya gembira dengan emas yang kami menangi," katanya ketika ditemui selepas Malaysia meraih emas keenam dan ketujuh menerusi Datuk Lee Chong Wei dan Vivian Hoo-Chow Mei Kuan.

“Bagaimanapun, saya kecewa dengan mereka yang sepatutnya menang emas dalam acara mereka seperti gimrama serta Pandelela (Rinong), meskipun dia layak ke final dalam acara 10m platform dengan catatan yang baik tetapi dia gagal menyerlah.

"Saya pasti kita akan menang lebih banyak emas daripada ini tetapi mereka sudah mencuba yang terbaik, namun atlet yang sepatutnya menang emas tidak berjaya.

"Saya gembira dengan yang berjaya namun kecewa dengan yang gagal."

Namun pada masa sama, beliau memuji semangat juang beberapa atlet yang mampu bangkit daripada ketinggalan untuk meraih emas.

"Atlet boling padang berdepan situasi genting sebelum menang, begitu juga dengan Chong Wei yang berdepan pemain nombor satu dunia K Srikanth yang berada dalam posisi terbaik untuk menang pingat emas.

"Begitupun Chong Wei dengan sokongan penuh rakyat Malaysia, termasuk pasukan ragbi kebangsaan membantunya berjuang untuk memenangi pingat emas, begitu juga dengan beregu wanita kita."

Disiarkan pada: April 15, 2018 @ 4:09pm
d