arena

Nasib Kumar diketahui minggu depan

Oleh Naqib Nor Said

NASIB penjaga gol utama hoki negara, S Kumar yang didakwa positif dalam ujian doping ketika Piala Asia, Oktober lalu bakal terjawab minggu depan.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal hari ini memberi petanda jelas keputusan kes itu akan diketahui apabila memaklumkan beliau sudah berurusan dengan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), baru-baru ini.

“Kita sudah berurusan begitu rapi dan teliti dengan FIH dan semuanya saya akan maklumkan pada minggu depan dalam satu sidang media khas.

“Mungkin waktu itu saya akan maklumkan lebih terperinci mengenai perancangan pasukan kebangsaan menjelang Sukan Asia (di Jakarta) selain memberi gambaran bagi menjawab tanda tanya berhubung isu Kumar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sejak didakwa positif doping lima bulan lalu, isu membabitkan penjaga gol berusia 38 tahun itu mengundang tanda tanya apabila maklumatnya seringkali dirahsiakan supaya tidak mengganggu perjalanan kes.

Malah, daripada e-mel yang diterima sepatutnya Kumar sudah mengetahui nasibnya pada 5 April lalu selepas FIH meminta tempoh 21 hari lagi bermula 15 Mac lalu untuk membuat keputusan berhubung hukuman ke atasnya.

Tetapi sehingga kini, Subahan berkata, tiada perkembangan terbaru yang diterima sehingga memaksa pihaknya berurusan dengan FIH menerusi peguamnya Jadadish Chandra.

“Pengumuman ini saya akan buat sebagai menjawab segala tanda-tanya. Setakat ini kami belum menerima sebarang maklumat terbaharu. Tetapi minggu depan saya beri sedikit gambaran hasil daripada langkah susulan kami untuk berurusan dengan FIH,” katanya.

Bagaimanapun, daripada reaksi Subahan ini dapat ditafsirkan seperti hukuman terus dijatuhkan ke atas Kumar tanpa ada sesi pendengaran selepas pihak MHC sebelum ini pernah menyatakan sudah mengemukakan segala dokumen dan bukti kepada FIH untuk tujuan mengemukakan rayuan.

Kumar kini menjalani hukuman penggantungan sementara yang menyaksikannya tidak dibenarkan terbabit dengan sebarang aktiviti hoki termasuk bersama skuad kebangsaan.

Disiarkan pada: April 15, 2018 @ 5:43pm
d