arena

Fajer lega walau seri

Oleh Mohd Amin Jalil

KETUA jurulatih Kelantan, Fajer Ibrahim tetap lega biarpun skuad bimbingannya sekadar mengutip satu mata selepas seri 1-1 dengan Negeri Sembilan dalam aksi Liga Super, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Malah, beliau juga berpuas hati dengan tindakannya yang mempertaruhkan sebahagian besar pemain muda apabila mereka menunjukkan semangat dan komitmen tinggi sepanjang tempoh 90 minit permainan.

"Saya puas hati dengan komitmen pemain muda malam ini apabila mereka menunjukkan persefahaman dan persembahan memberangsangkan terutama pada separuh masa kedua. Walaupun ketinggalan pada minit ketujuh, tetapi pemain tidak patah semangat, sebaliknya terus berusaha mendapatkan gol penyamaan sehingga ke saat akhir permainan.

"Sikap mereka yang berjuang sehingga ke penghujung permainan harus dipuji walaupun keputusan malam ini tidak membawa banyak perubahan kepada pasukan dari segi kedudukan kami dalam carta liga," katanya selepas perlawanan malam tadi.

Pemain muda Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat, muncul penyelamat skuad The Red Warriors apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-90, selepas Negeri Sembilan mendahului lawan menerusi jaringan Flavio Beck Junior pada minit ketujuh.

Fajer yang dilantik menjawat jawatan berkenaan bulan lalu berkata, pihaknya memerlukan masa untuk memantapkan lagi prestasi pasukan itu dan akan terus memberi peluang kepada pemain muda untuk beraksi.

"Saya perlukan masa untuk memantapkan lagi prestasi pasukan dan berpandukan keputusan malam ini, kami perlu bekerja lebih keras untuk memastikan kemenangan dicapai pada aksi akan datang,” katanya.

Disiarkan pada: April 15, 2018 @ 8:45pm
d