arena

Siasat ancaman diterima Oliver

Oleh AFP

LONDON: Polis Britain kini sedang menyiasat ancaman diterima isteri Micheal Oliver, pengadil yang memberikan sepakan penalti kontroversi yang membantu Real Madrid menyingkirkan Juventus daripada saingan Liga Juara-Juara.

Oliver yang juga pengadil Liga Perdana Inggeris memberikan sepakan penalti kepada Real pada minit ke-93 di Santiago Bernabeu selepas pertahanan Juventus, Mehdi Benatia mengasari Lucas Vazquez dari belakang. 

Keadaan itu menimbulkan kemarahan pemain Juventus dan bertambah tegang apabila penjaga golnya Gianluigi Buffon diarah keluar padang kerana membantah keputusan Oliver, sebelum penyerang bintang Real, Cristiano Ronaldo menyempurnakan penalti dan membawa gergasi Sepanyol itu ke separuh akhir menerusi kemenangan agregat 4-3.

Buffon kemudian melabel pengadil England itu sebagai 'tidak mempunyai perasaan' dan sepatutnya menyaksikan perlawanan Liga Juara-Juara membabitkan Juventus dan Real dari tempat duduk penonton. 

Bagaimanapun, difahamkan kritikan terbabit menyebabkan ahli keluarga pengadil berusia 33 tahun berkenaan mengalami penderaan mental yang serius. 

BBC Sport melaporkan bahawa isteri Oliver, Lucy, yang juga seorang pengadil Liga Super wanita, mendakwa dia menerima pelbagai mesej selepas nombor telefon bimbitnya dipaparkan pihak tidak bertanggungjawab di media sosial.

Polis Britain juga menyiasat laporan ada individu tertentu yang melakukan gangguan dengan mengetuk pintu dan membaling objek ke arah peti surat pasangan pengadil England terbabit.

Berikutan itu, nombor telefon Lucy telah dinyahaktifkan, tetapi akaun media sosialnya tetap menjadi sasaran penyokong Juventus.

Oliver adalah pegawai keempat ketika Huddersfield menang ke atas Watford dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris, semalam dan bakal mengendalikan pertembungan antara West Ham dan Stoke, esok.  

 

 

 

 

Disiarkan pada: April 15, 2018 @ 10:23pm
d