arena

Trofi Liga Juara-Juara lebih penting

LONDON: Penyerang Liverpool, Mohamed Salah lebih fokus untuk membantu pasukannya merangkul trofi Liga Juara-Juara daripada gelaran individu yang boleh dimilikinya musim ini.

Pemain kebangsaan Mesir itu sudah meledak 40 gol dalam semua pertandingan musim ini ketika Liverpool menewaskan Bournemouth 3-0 dalam saingan Liga Perdana semalam dan kini dalam kedudukan terbaik untuk memenangi anugerah Kasut Emas Eropah.

Liverpool mengalahkan Manchester City secara agregat 5-1 untuk mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara untuk bertemu AS Roma dan Salah berharap rentak kemenangan itu dapat diteruskan.

“Memenangi Liga Juara-Juara lebih penting,” kata Salah ketika ditanya sama ada dia lebih berminat memenangi piala atau anugerah individu.

“Jika anda diberikan pilihan sudah pastinya Liga Juara-Juara. Memenangi Liga Juara-Juara adalah penting untuk semua orang. Saya tak pedulikan hal lain.”

Pemain berusia 25 tahun itu menjaringkan 30 gol dalam 32 aksi liga bersama Liverpool pada musim pertamanya dengan kelab itu dan menjadi calon pilihan untuk meraih anugerah Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional.

Liverpool akan menentang West Bromwich Albion dalam kempen liga Sabtu ini sebelum mengharungi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara, tiga hari kemudian. - Reuters

Disiarkan pada: April 16, 2018 @ 6:26pm
d