arena

PFAM kemuka laporan rasmi FAM

Oleh Zulfaizan Mansor

PERSATUAN Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) akan mengemukakan laporan rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkenaan masalah gaji serius yang dihadapi pemain Kuantan FA ketika ini.

Masalah gaji serius yang masih membelenggu pasukan itu mencapai kemuncaknya malam tadi apabila pemain skuad The Seagulls menunjukkan protes selepas tidak hadir ke Stadium Shah Alam untuk perlawanan Liga Perdana berdepan PDRM.

Susulan tindakan itu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan mereka akan membawa perkara itu kepada mesyuarat lembaga pengarah untuk membatalkan penyertaan Kuantan FA dalam saingan Liga Perdana, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai nasib pemain The Seagulls.

Mengakui sedih dengan nasib yang menimpa pemain Kuantan FA, Presiden PFAM, Rezal Zambery Yahya menjelaskan pihaknya dalam proses akhir mengumpul segala dokumen untuk diserahkan kepada FAM dalam masa terdekat.

“Mungkin esok atau Rabu ini kami akan ke FAM. Sekarang ini kami sedang dapatkan maklumat daripada pemain Kuantan FA bagi mengetahui berapa angka sebenar gaji yang sudah dibayar dan masih tertunggak.

“Ia penting bagi memastikan dokumen yang akan diserahkan kepada FAM nanti lengkap sepenuhnya. Kami juga sudah dua kali menghantar surat kepada Marcerra United (pengurusan Kuantan FA) sebelum ini dan saya fikir sudah cukup tempoh untuk kami membuat laporan rasmi kepada FAM.

“Ini kali pertama (pemain membuat protes) berlaku, jadi kita kena faham betul-betul undang-undang yang ada. Pemain juga pasti tertanya-tanya bagaimana nasib mereka, bagi kami selagi ada undang-undang, hak pemain tetap terjaga,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kegagalan Kuantan FA hadir ke stadium selepas waktu sepak mula yang dijadualkan pada jam 9 malam menyaksikan PDRM diberikan kemenangan percuma 3-0.

Sukan NSTP semalam melaporkan jurulatih Kuantan FA, Ismail Zakaria mengakui protes yang dibuat pemain itu berpunca daripada kegagalan pengurusan pasukan itu menyelesaikan masalah gaji yang dipercayai tertunggak kira-kira empat bulan lalu.

Malah, Ismail turut menyerahkan kepada pengurusan tertinggi Kuantan FA untuk memberi penjelasan kepada MFL dan FAM.

Disiarkan pada: April 16, 2018 @ 10:15pm
d