arena

'Saya harap pulih sebelum Sukan Asia'

Oleh Mohd Khairie Khalid

 

PEMEGANG rekod kebangsaan acara heptatlon, Norliyana Kamaruddin berharap sempat menemui kembali rentak sebenarnya menjelang Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia bulan depan, sekali gus membuka peluang buatnya untuk dipilih menyertai Sukan Asia Indonesia.

Norliyana yang cedera lutut sejak November tahun lalu masih dalam proses pemulihan dan hanya menyertai kejohanan di peringkat universiti sepanjang tahun ini.

“Buat masa ini, saya hanya menyertai kejohanan di peringkat universiti saja, antaranya adalah Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) dan kejohanan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM),” kata atlet 27 tahun itu.

“Ini kerana saya masih dalam proses pemulihan. Kejohanan peringkat universiti yang saya sertai dianggap sebagai latihan kerana masih berjaga-jaga dengan kecederaan.

“Selepas ini mungkin saya akan sertai Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia pada Mei. Saya juga masih tidak tahu bagaimana status untuk Sukan Asia, tetapi saya akan cuba sebaiknya.”

Selain memberi fokus kepada pemulihan, Norliyana berkata dia akan menyertai temasya Sukan Universiti ASEAN 2018 di Naypyidaw, Myanmar yang dijadual pada Disember ini.

Norliyana adalah atlet yang berjaya memecahkan rekod berusia 36 tahun milik Datuk Zaiton Othman dengan himpunan 5,247 di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) lalu.

Heptatlon adalah pertandingan untuk atlet wanita yang membabitkan tujuh acara iaitu 100 meter berpagar, lontar peluru, lompat tinggi, 200 meter, 800m, lompat jauh dan merejam lembing.

Disiarkan pada: April 17, 2018 @ 7:20pm
d