arena

'Jangan pandang rendah'

Oleh Aziman Rosdi

PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Imran Tuanku Ja’afar mengingatkan semua pihak supaya tidak memandang rendah keupayaan atlet negara berdasarkan pencapaian pada Sukan Komanwel Gold Coast 2018 yang berakhir kelmarin.

Beliau berkata, meskipun ada yang menganggap prestasi pada temasya sukan itu satu petanda buruk apabila gagal menamatkan kempen dalam senarai 10 negara terbaik, atlet negara sebenarnya masih mampu melakar kejutan pada Sukan Asia Indonesia, Ogos depan.

“MOM tidak pernah menetapkan sasaran itu dan saya tidak fikir sudah ada pihak yang meletakkan sasaran kepada atlet kita di Sukan Asia memandangkan atlet masih belum dipilih dan undian juga belum dikeluarkan. Sudah pasti kita mengharapkan atlet akan mencapai prestasi lebih baik berbanding Sukan Asia Incheon.

“Saya tetap yakin atlet negara akan melakukan yang terbaik, jangan memandang rendah atlet negara. Mereka boleh melakukan kejutan seperti di Sukan SEA yang mana kita hanya meletakkan sasaran pingat emas 111 tapi kita berjaya melepasinya (145),” kata Tunku Imran dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat ahli lembaga eksekutif MOM ke-30 hari ini.

Kejayaan atlet negara meraih tujuh pingat emas di Gold Coast berbanding enam di Glasgow empat tahun lalu mengundang pelbagai reaksi dengan ada antaranya menganggap ia bukan pencapaian hebat.

Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM, Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa, dengan prestasi seumpama itu, bencana lebih buruk akan berlaku buat kontinjen negara apabila bertanding di Sukan Asia jika persiapan atlet tidak ditingkatkan termasuk menerusi Program Podium.

Tunku Imran yang akan melepaskan jawatannya kerana tidak mahu bertanding pada mesyuarat agung tahunan (AGM) pada 5 Mei ini bagaimanapun tetap mempertahankan program yang dikendalikan oleh Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

“Program Podium satu program yang berjaya. Ia adalah program bagi jangka masa panjang. Anda tidak boleh melahirkan juara Olimpik, juara dunia, juara Sukan Komanwel dengan sekelip mata. Pada saya, Program Podium, Kita Juara dan Pelapis berjalan dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Tunku Imran turut mengumumkan Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail menolak tugas sebagai Timbalan Chef-de-Mission negara ke Sukan Asia Indonesia dan penggantinya akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Disiarkan pada: April 17, 2018 @ 7:32pm
d