arena

VAR cetus kontroversi lagi

KEPUTUSAN menghadiahkan sepakan penalti menerusi video bantuan pengadil (VAR) ketika rehat babak pertama dalam perlawanan Bundesliga mencetuskan satu lagi kontroversi di Jerman.

Kemenangan 2-0 Mainz ke atas Freiburg di laman sendiri malam tadi menjadi kontroversi selepas pemain yang ketika itu sudah berada di bilik persalinan diarahkan masuk kembali ke padang bagi mengambil sepakan penalti itu.

“Ia sangat pelik, kami sudah berada di dalam bilik persalinan. Kami pada mulanya tidak percaya,” kata penjaga gol Freiburg, Alexander Schwolow.

VAR akan digunakan pada pusingan akhir Piala Dunia buat kali pertama di Russia, Jun ini.

Bagaimanapun insiden yang berlaku di Mainz itu adalah kontroversi terbaru membabitkan penggunaan VAR musim ini di Jerman yang mana sistem itu masih lagi dalam proses ujian.

Pada lewat babak pertama di Mainz, rayuan pemain tuan rumah untuk mendapatkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan pemain lawan tidak diterima pengadil, Guido Winkmann sekali gus menjadikan kedudukan kekal terikat tanpa jaringan.

Pengadil kemudian menamatkan saingan babak pertama dan kedua-dua pasukan meninggalkan paang untuk memasuki bilik persalinan.

Bagaimanapun selepas beberapa minit, pengadil video perlawanan Bibiana Steinhaus, yang berada di pusat VAR di Cologne memaklumkan kepada Winkmann bahawa bola terkena tangan.

Pemain kemudian dipanggil semula masuk ke padang dan penyerang Mainz, Pablo De Blasis mudah menyepak masuk sepakan penalti menewaskan Schwolow.

“Saya tak nampak bola terkena tangan tapi apabila saya melihat gambar insiden itu, ia memang betul,” kata Winkmann. - AFP

Disiarkan pada: April 17, 2018 @ 11:06pm
d