arena

'Barcelona masih kebal'

MADRID: Lionel Messi diturunkan sebagai pemain gantian, namun Barcelona yang bermain dengan 10 pemain lega apabila tetap mampu mencatat keputusan 2-2 menentang Celta Vigo bagi mengelak kekalahan pertama kelab itu musim ini.

Messi hanya dimasukkan selepas sejam perlawanan di Stade Balaidos dan dilihat mampu memberi inspirasi kepada Barca mencatat kemenangan apabila Paulinho membantu pelawat berada di depan 2-1 empat minit kemudian.

Namun Sergi Roberto kemudiannya dibuang padang akibat menarik Iago Aspas dan dalam minit ke-82 bekas penyerang Liverpool itu berjaya menjaringkan gol penyamaan.

"Saya rasa kami berhak untuk menang perlawanan tadi," kata jurulatih Celta Vigo, Juan Carlos.

Terdahulu, Ousmane Dembele menjaringkan gol pembukaan, sebelum Johny Castro menyamakan kedudukan bagi Barcelona menambah rekod tanpa kalah kepada 40 perlawanan La Liga.

Mereka juga terus menjarakkan kedudukan di tangga teratas dengan perbezaan 12 mata di hadapan Atletico Madrid yang berada di tempat kedua.

"Anda menerima satu mata tetapi niat kami adalah untuk menang," kata jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde.

"Apabila kami kehilangan Sergi, kami melalui kesukaran tetapi ia adalah satu mata lagi. Kami perlukan hanya dua lagi kejayaan dan kami perlu bertarung untuk mereka."

Dengan satu lagi perlawanan Copa del Rey menentang Sevilla Sabtu ini, Valverde melakukan beberapa perubahan terhadap kesebelasan utama Barca apabila Messi, Luis Suarez, Gerard Pique, Samuel Umtiti, Sergio Busquets dan Ivan Rakitic semuanya direhatkan.

- AFP

Disiarkan pada: April 18, 2018 @ 10:21am
d