arena

Cabar pemain simpanan

Oleh Rodly Fadly

FELDA United berdepan ujian getir menentang PKNP FC pada suku akhir kedua Piala FA di Jengka Jumaat ini berikutan kecederaan empat pemain utamanya.

Jurulatih B Sathianathan mengesahkan tonggak pertahanan import, Thiago Junior Aquino tidak dapat diturunkan sambil beliau mengharapkan kecederaan Gilberto Fortunato, Stuart Wark dan Wan Zack Haikal Wan Nor sempat pulih menjelang perlawanan penting di Stadium Tun Abdul Razak itu.

Situasi itu sedikit sebanyak meresahkan jurulatih itu apatah lagi The Fighters hanya membawa bekalan satu gol hasil kemenangan 1-0 pada suku akhir pertama di tempat lawan dua minggu lalu.

“Satu gol bukan bekalan selesa. Walaupun hanya memerlukan seri untuk layak ke separuh akhir namun kami tidak mahu mengambil risiko bermain secara negatif sebaliknya tetap memburu kemenangan.

“Tapi dengan kecederaan empat pemain utama, saya akui perlawanan ini terlalu mencabar terutama berdepan PKNP. Mereka memberi tentangan hebat kepada kami pada suku akhir pertama di Batu Kawan walaupun bermain pada waktu petang.

“Saya mengkaji permainan mereka ketika menentang Perak baru-baru ini. Walaupun tewas 1-2 namun kualiti PKNP lebih terserlah bila mereka bermain pada waktu malam.

“Jadi, saya boleh jangka apa yang akan dihadapi kali ini. Saya juga tidak mudah lupa mereka pernah mengalahkan kami di Jengka pada suku akhir Piala Malaysia musim lalu,” kata Sathia.

Sathia berkata, walaupun masih menaruh harapan kecederaan pemain utama sempat pulih namun beliau sudah bersiap sedia dengan barisan simpanan yang akan menampung kekosongan itu.

Malah beliau mencabar pemain simpanan yang akan diberi peluang bermain membuktikan kemampuan masing-masing.

“Jika selama ini ada yang merungut kerana hanya diletakkan di bangku simpanan, kini saya cabar mereka membuktikan kemampuan kepada saya,” katanya.

Disiarkan pada: April 18, 2018 @ 7:19pm
d