arena

PESAKA 'sedia' gugur pesilat [METROTV]

Oleh Azlan Muhammad Zain

TIADA tempat ke Sukan Asia sekiranya gagal mempamerkan persembahan terbaik dan memuaskan hati Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) di Terbuka Belgium hujung bulan nanti!

Itu amaran keras Setiausaha Agung PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin kepada barisan pesilat negara, apabila badan induk silat negara berkenaan mahukan keputusan yang positif bermula di Terbuka Belgium.

"Walaupun pesilat berkenaan adalah juara sekalipun, sekiranya mereka perlu digantikan, kita akan lakukannya. Saya sudah bertanyakan kepada jurulatih bahawa mereka mampu menyediakan atlet yang baru untuk diserapkan dalam tempoh berbaki kira-kira tiga bulan menjelang Sukan Asia pada Ogos nantil,” kata Megat.

"Terbuka Belgium adalah pentas terakhir untuk kita menamakan pesilat ke Sukan Asia. Jadi saya mahu kejayaan bermula di Terbuka Belgium sebelum diteruskan ke Sukan Asia kerana harapan diletakkan kepada kita amat tinggi di Indonesia nanti.”

Silat dijangka menjadi antara sandaran utama negara meraih emas di Sukan Asia selepas cemerlang di Sukan SEA yang lalu.

"Kita tidak mahu ada penumpang, sebab itu kita lakukan saringan yang ketat. Saya rela membawa jumlah yang kecil ke Indonesia namun setiap daripadanya membawa pulang pingat, berbanding jumlah yang besar namun tidak mencapai apa yang diharapkan.

"Ini adalah cara kita, kebajikan sudah dijaga dengan baik. Kita boleh menerima kekalahan apabila merasakan mereka sudah mencuba 200 peratus namun bukan dengan sikap sambil lewa dan sebagainya," katanya.

Seramai 13 atlet elit negara termasuk Al Jufferi Jamari akan berlepas pada 29 April bagi menyertai Terbuka Belgium dengan 15 negara bakal bertanding.

Terdahulu berlangsung majlis penyerahan Jalur Gemilang termasuk kepada pesilat remaja ke Kejuaraan Silat Remaja Dunia di Thailand pada minggu depan.

 

Disiarkan pada: April 18, 2018 @ 8:28pm
d