arena

KAFA dapat diskaun lagi

Oleh Attirmidzie Rahman

PERSATUAN Bolasepak Kelantan (KAFA) mendapat 50 peratus potongan pengurangan hutang levi Stadium Sultan Muhammad Ke-IV daripada kerajaan negeri.

Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, pengurangan itu diputuskan dalam mesyuarat Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob hari ini.

Katanya, sebelum ini, KAFA menghantar surat rayuan supaya hutang persatuan itu dari 2014 hingga 2017 dikurangkan kepada 50 peratus daripada 25 peratus sebelum ini.

“Alhamdulilah, 50 peratus pengurangan daripada hutang levi stadium 2014 sampai 2017 diberi oleh kerajaan negeri hari ini.

“Sebelum ini kami sudah memohon kepada Menteri Besar supaya dimansuhkan hutang terbabit bagaimanapun hari ini kami mendapat khabar mereka mahu mengurangkan hutang bayaran itu sebanyak 50 peratus berbanding 25 peratus yang diberi pada peringkat awal.

“Selain itu, PSK juga bersetuju untuk memberi ruang kepada KAFA membayarnya secara berperingkat-peringkat selama setahun.

“Namun kami masih lagi memerlukan kelonggaran masa untuk membayar memandangkan KAFA juga perlu fokus kepada perkara lain terutama membabitkan penggunaan kewangan semasa,” katanya di sini, hari ini.

Disiarkan pada: April 18, 2018 @ 9:56pm
d