arena

Jentera baharu Jazeman, rakan

Oleh Fadhli Ishak

 

PEMANDU utama pasukan Jackie Chan DC Racing, Jazeman Jaafar dan rakan sepasukan, Weiron Tan, Nabil Jeffriserta Afiq Ikhwan Yazid berharap dapat bermula langkah kanan pada musim pertama mereka dalam Kejuaraan Endurance Dunia (WEC) yang bermula dua minggu lagi.

Pasukan itu turut diberikan jentera baharu Oreca 07 menggantikan Oreca 05 yang digunakan ketika Siri Le Mans Asia (ALMS) awal tahun ini dan berpeluang menguji kemampuannya ketika sesi ujian rasmi di litar Paul Ricard di Perancis baru-baru ini.

Afiq, yang turut berlumba dalam siri lain tahun ini, tidak ikut serta tetapi Jazeman, Nabil dan Weiron melengkapkan keseluruhan 248 pusingan sepanjang ujian 30 jam dengan catatan terbaik satu minit 41.857 saat.

Jazeman berharap dia dan rakan sepasukan akan dapat menyesuaikan diri dengan segera dalam kelas LMP2 yang cukup kompetitif itu.

"Kami diberikan kereta baharu, Oreca 07 yang mempunyai 620 kuasa kuda. Ia lebih berkuasa berbanding jentera sebelum ini (Oreca 05), lebih 120 kuasa kuda dan 20 peratus lebih downforce,” kata Jazeman.

"Kami mengharungi ujian positif di Paul Ricard tetapi masih banyak yang perlu dipelajari. Daripada segi mental, saya rasa kami bersedia untuk musim baharu.

"Kami hanya perlu terus bekerjasama, lebih memahami satu sama lain dan berkomunikasi baik dengan pasukan. Tahap saingan WEC cukup tinggi dengan bekas pelumba Formula Satu Pastor Maldonaldo turut bersaing dalam kelas LMP2.”

Nabil adalah pemandu baharu pasukan, yang mendapat sokongan Litar Antarabangsa Sepang. Keempat-empat pemandu itu akan digilirkan sepanjang musim.

Pusingan pembukaan WEC akan berlangsung di Litar Spa Francorchamps di Belgium dari 16-17 Jun.

Disiarkan pada: April 18, 2018 @ 10:43pm
d