arena

Alonso bakal digantung tiga perlawanan

Oleh AFP

London: Pemain pertahanan Chelsea, Marcos Alonso didakwa melakukan kekasaran oleh Persatuan Bolasepak Inggeris (FA), berhubung satu insiden ketika perlawanan menentang Southampton.

Bek kiri itu dilihat menendang kaki penyerang Southampton, Shane Long dari belakang pada perlawanan Sabtu lalu, tetapi insiden berkenaan tidak diambil tindakan oleh pengadil, Mike Dean.

Bagaimanapun, FA yang mengkaji semula rakaman insiden itu memberikan masa kepada pemain dari Sepanyol berkenaan untuk memberi maklum balas.

Alonso bakal berdepan penggantungan tiga perlawanan jika dia mengaku bersalah atas dakwaan itu yang akan menyaksikan dia terlepas perlawanan separuh akhir Piala FA pada Ahad ini menentang Southampton.

Dia juga bakal terlepas aksi Liga Perdana menentang Burnley, hari ini dan juga perlawanan menentang Swansea.

“Pemain Chelsea, Marcos Alonso didakwa kerana melakukan kekasaran susulan insiden dengan Shane Long dari Southampton,” kata kenyataan oleh FA.

“Ia berlaku pada minit ke-43 dalam perlawanan Sabtu lalu … dan tidak dilihat oleh pegawai perlawanan tetapi dirakam video.”

Insiden itu dihakimi panel yang terdiri daripada tiga bekas pegawai elit perlawanan yang perlu sebulat suara untuk membuat keputusan.

Pengurus Southampton, Mark Hughes mengkritik tindakan Alonso dengan berkata, dia sepatutnya menerima kad merah.

Disiarkan pada: April 19, 2018 @ 3:19am
d