arena

Napoli terus cemerlang, Juventus seri

Oleh AFP

MILAN: Napoli meneruskan harapan memburu kejuaraan menerusi kemenangan 4-2 ke atas Udinese, ketika laluan juara bertahan, Juventus mencari kejuaraan ketujuh berturut-turut Serie A terganggu apabila terikat 1-1 di Crotone, pagi tadi.

Penyerang Nigeria, Simy mendapatkan gol penyamaan buat Crotone selepas minit ke-65, melalui sepakan ala basikal menakjubkan, seakan-akan sama seperti yang dilakukan Cristiano Ronaldo, di Turin bulan lalu.

Jaringan cantik itu memadam kelebihan Juventus yang berjaya meraih gol awal menerusi Sandro, seawal minit ke-16.

“Kami tidak melakukan yang terbaik malam ini, walaupun pemain sudah melakukan apa yang terdaya,” kata jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri.

“Kami memiliki kelebihan enam (mata) dan malam ini amat penting untuk Scudetto. Perkara yang boleh dilakukan ialah kekal tenang, dan bermain hingga penamat.”

Napoli pula bangkit daripada ketinggalan dua kali untuk mengurangkan jurang dengan Juventus kepada empat mata, berbaki lima perlawanan termasuk pertembungan antara kedua-dua pasukan itu yang kini menguasai puncak liga.

Skuad kendalian Maurizio Sarri diberikan ancaman awal di laman sendiri apabila pemain Republik Czech, Jakub Jankto meletakkan Udinese di depan pada minit ke-41.

Namun, Lorenzo Insigne meletakkan Napoli kembali menyamakan kedudukan sebelum rehat sebelum pemain tengah Sweden, Svante Ingelsson sekali lagi membawa Udinese berada di depan selepas 10 minit bermula babak kedua.

Bagaimanapun Raul Albiol, Arkadiusz Milik dan Lorenzo Tonelli semuanya menjaringkan gol dalam  tempoh 10 minit di babak kedua untuk Napoli sekaligus memberikan kekalahan ke-20 buat Udinese, musim ini.

Disiarkan pada: April 19, 2018 @ 7:41am
d