arena

Ying Ying buru slot Piala Uber

Oleh Helmi Talkah

PEMAIN perseorangan wanita negara, Lee Ying Ying mengakui Kejohanan Badminton Asia di Wuhan, China minggu depan bakal menjadi peluang terakhir untuk membuktikan kemampuannya sekali gus merebut tempat dalam skuad Piala Uber.

Dia yang menghuni ranking ke-50 dunia bagaimanapun sedar saingan di Wuhan bukan sesuatu yang mudah kerana menghimpunkan pemain terbaik Asia.

"Setakat ini persiapan saya berjalan dengan baik dan saya akan beri fokus satu demi satu perlawanan selain cuba bermain secara konsisten," katanya ketika ditemui di Stadium Juara, Bukit Kiara, hari ini.

Saingan Piala Uber akan berlangsung di Bangkok, Thailand bermula 20 hingga 27 Mei depan. Skuad wanita diundi dalam Kumpulan D bersama juara bertahan, China, Indonesia dan Perancis.

Terdahulu, Ying Ying, 21, cemerlang apabila mara ke suku akhir selepas mengatasi pemain Thailand, Supanida Katethong 21-16, 21-14 dalam aksi pusingan kedua.

Dia yang diletakkan sebagai pilihan ketiga akan berdepan satu lagi wakil Thailand, Chasinee Korepap bagi perebutan tempat ke separuh akhir, esok.

Ying Ying berkata, sasaran awal untuk mara ke suku akhir sudah berjaya dicapai dan kini memasang impian untuk ke final.

"Permainan saya bertambah baik setiap hari dan keyakinan saya semakin meningkat terutama selepas berjaya mencapai sasaran awal layak ke suku akhir.

"Sekarang ini saya mahu cuba melangkah lebih jauh dan paling penting saya perlu kekal konsisten," katanya.

Turut mara ke suku akhir ialah perseorangan lelaki, Tan Jia Wei, Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki); Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei (beregu lelaki); Choong Hon Jian-Chong Wei Man (beregu lelaki), Mohamad Arif Latif-Nur Azriyn Ayub (beregu lelaki) dan Chooi Kah Ming-Low Juan Shen.

Beregu wanita, Soong Fie Cho-Tee Jing Yi; Goh Yea Ching-Yap Cheng Weng; Lim Chiew Sien-Tan Sueh Jeou turut akan beraksi di suku akhir esok selain Chen Tan Jie-Peck Yen Wen serta Ahmad Maziri Mazlan-Lim Payee dalam acara beregu campuran.

Disiarkan pada: April 19, 2018 @ 7:50pm
d