arena

Kami tak akan bertahan!

Oleh Aziman Rosdi

DALAM usaha melayakkan diri ke separuh akhir, Selangor tidak akan menggunakan taktik bertahan sebaliknya tetap menggempur kubu Kuala Lumpur apabila kedua-dua pasukan bertemu di suku akhir kedua Piala FA, Sabtu ini.

Bagi jurulatih skuad Red Giants, Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir, anak buahnya tidak akan sesekali berkampung di kawasan sendiri dan gema sorakan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pasti menyuntik moral pasukannya untuk melakar kemenangan.

“Selangor tak akan bertahan, sebaliknya terus memberikan tekanan kepada Kuala Lumpur dan dalam masa yang sama menyerang untuk melebarkan jaringan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Selangor kini dilihat hanya selangkah untuk mara ke separuh akhir hasil kemenangan 3-0 pada aksi pertama namun prestasi mereka kurang meyakinkan apabila tumpas 0-4 kepada Kedah dalam saingan Liga Super minggu lalu.

Lebih memeritkan, Selangor bakal kehilangan lima pemain utama iaitu pertahanan, Willian Pachecho, pemain tengah, Amri Yahyah dan Halim Zainal yang digantung perlawanan manakala Joseph Kalang Tie dan Syahmi Safari mengalami kecederaan.

Bagaimanapun, Nazliazmi yang menggantikan tempat P Maniam percaya, pemain lain bersedia untuk melunaskan tugas terakhir Sabtu ini.

“Selangor tak akan ambil mudah, kita akan terus fokus, kurangkan kesilapan dan memanfaatkan peluang yang ada. Saya percaya semua pemain sudah bersedia untuk diturunkan.

“Masing-masing sedar akan kepentingan untuk menang pada perlawanan Sabtu ini dan pemain tak akan sia-siakan peluang untuk bermain di separuh akhir,” katanya.

 

Disiarkan pada: April 19, 2018 @ 8:57pm
d