arena

Zaquan tambatan KL

Oleh Rodly Fadly

 

PENYERANG kebangsaan, Zaquan Adha Abd Radzak menjadi sandaran utama Kuala Lumpur (KL) untuk menerobos gawang Selangor pada suku akhir kedua Piala FA, malam esok ekoran ketiadaan Guilherme de Paula yang menjalani penggantungan.

Jurulatih, Fabio Maciel yakin Zaquan adalah pilihan terbaik dengan empat gol dijaringkannya ketika skuad kebangsaan membelasah Bhutan 7-0 pada aksi persahabatan awal bulan ini menjadi asas kepercayaannya ke atas pemain itu.

“Ketiadaan Guilherme memang dirasai bagi menghadapi perlawanan penting sebegini. Apatah lagi dalam situasi kami perlu menjaringkan sekurang-kurangnya tiga gol untuk menyamakan agregat 3-3 serta mengheret perlawanan ke masa tambahan.

“Justeru, saya perlu membuat sedikit rombakan untuk menampung ketiadaan Guilherme itu. Besar kemungkinan kami akan menurunkan Zaquan sebagai penyerang utama dengan tempatnya di bahagian sayap diisi oleh Asri (Chuchu).

“Zaquan membuktikan dia memiliki ketajaman melakukan penyudah ketika tugasan bersama skuad kebangsaan, jadi saya yakin dia tidak akan berdepan masalah bermain di posisi itu serta mengulangi kehebatannya bersama KL,” katanya.

Zaquan tidak diturunkan ketika KL mengikat Pahang 2-2 pada aksi Liga Super Ahad lalu kerana mengalami kecederaan namun disahkan pulih dan cergas untuk melaksanakan misi penting di Stadium KLFA, Cheras, malam esok.

KL berdepan tugas getir untuk memadamkan kelebihan tiga gol di tempat lawan yang dimiliki Selangor selepas mereka tewas 0-3 pada suku akhir pertama dua minggu lalu.

Lebih memeritkan, dalam perlawanan itu, ayam tambatannya, De Paula dilayangkan kad merah kerana bertindak balas ke atas kekasaran dilakukan Halim Zainal.

Namun, Maciel masih optimis dengan menjadikan kemenangan ke atas Johor Darul Ta’zim (1-0) dan Kedah (4-3) serta seri 2-2 dengan Pahang sebagai kayu pengukur kemampuan sebenar skuad warga kota itu.

“Kalau kami mampu mempamerkan prestasi seperti dalam ketiga-tiga perlawanan ini, tidak mustahil untuk mengetepikan Selangor,” ujar jurulatih kelahiran Brazil itu.

Disiarkan pada: April 20, 2018 @ 11:12am
d