arena

Wenger 'angkat kaki'

SELEPAS 22 tahun, akhirnya Arsene Wenger membuat keputusan untuk meninggalkan Arsenal pada hujung musim ini dengan reputasi sebagai pengurus paling berjaya dalam sejarah kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.   

"Selepas memikirkan secara mendalam dan perbincangan bersama kelab, saya rasakan sudah tiba masanya untuk saya meletakkan jawatan pada hujung musim ini," kata pengendali kelahiran Perancis itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh The Gunners hari ini.   

Wenger, 68, bersama dengan kelab Utara London itu sejak Oktober 1996 dan menjadi pengurus paling lama mengendalikan kelab bola sepak Inggeris.   

Beliau masih mempunyai kontrak sehingga musim depan.   

Arsenal ketika ini menduduki tangga keenam liga, namun masih bersaing di separuh akhir Liga Europa bagi menghidupkan peluang mereka mendapatkan tiket ke Liga Juara-Juara musim depan.   

"Saya bersyukur kerana mendapat kepercayaan mengendalikan kelab ini mengharungi pelbagai kejayaan. Saya mengendalikan kelab ini dengan komitmen dan integriti," kata Wenger yang meminta penyokong terus berada di belakang pasukan untuk menamatkan kempen musim ini dengan cemerlang.   

Pemilik Arsenal, Stan Kroenke menyifatkan keputusan Wenger itu sebagai ‘hari paling sukar yang dilalui sepanjang menceburi bidang sukan.’   

"Salah satu alasan untuk kami membabitkan diri dengan Arsenal adalah kerana cara Arsene mengendalikan kelab ini di dalam dan luar padang," katanya.   

"Tempoh lamanya dan konsisten di peringkat tinggi dalam perlawanan sememangnya sukar ditandingi."   

Wenger memenangi tiga gelaran EPL termasuk rekod tidak pernah kalah sepanjang musim, tujuh Piala FA dan membawa Arsenal bersaing dalam Liga Juara-Juara untuk 20 tahun berturut-turut. 

Mereka memenangi kejuaraan berganda liga dan Piala FA pada 1998 dan 2002.   

Kelab itu berkata, pengganti Wenger akan diumumkan dalam masa terdekat dengan pengurus dari Jerman, Thomas Tuchel dikatakan calon pilihan selepas meninggalkan Borussia Dortmund hampir setahun lalu. - REUTERS

Disiarkan pada: April 20, 2018 @ 6:26pm
d