arena

'Macam main di laman sendiri'

Los Angeles: Pemain Korea Selatan, Park In-bee mencatat lima bawah par 66 bagi mendahului dengan kelebihan satu pukulan selepas pusingan pertama Jelajah LPGA Amerika Syarikat, Terbuka Los Angeles yang buat julung kali dianjurkan hari ini.

Park mencatat empat birdie berturut-turut bermula di lubang 12 par tiga dan juga satu pukulan di depan pemain Amerika Syarikat, Marina Alex di Kelab Country Wilshire.

“Saya bermain dengan baik hari ini. Terutama sekali dalam lapangan golf baru. Saya tidak tahu bagaimana permainan akan berlangsung esok,” kata Park.

“Lapangan itu sangat baik untuk semua. Ia sesuai dengan saya. Saya melakukan putt yang menjadi dan saya ada sebab untuk gembira.”

Satu kumpulan besar yang dibezakan dua pukulan di belakang Park termasuklah Pernilla Lindberg, Lexi Thompson, Caroline Inglis, Aditi Ashok, Moriya Jutanugarn, Ji Eun-hee dan Emma Talley.

Park memutuskan untuk menggunakan kembali putter lamanya bagi acara ini selepas mencuba yang baru sebelum ini.

“Minggu lalu adalah minggu yang ganjil buat saya di mana saya terlepas banyak pukulan pendek dan saya tidak selesa dengan putter itu,” kata Park. “Saya hanya mahu melakukan yang berbeza jadi saya mengubahnya.”

Los Angeles adalah pusat kepada ramai komuniti Korea Selatan dan mereka berada di situ untuk menyokong Park.

“Saya tidak pernah bermain di kejohanan luar negara dengan sebegini ramai penyokong Korea,” kata Park yang memerlukan hanya 28 putt dalam pusingannya. “Saya sering rasakan seperti bermain di laman sendiri. Ia seolah sama seperti di Korea.”

Marina yang memburu kemenangan Jelajah pertamanya melakukan empat bawah par 67.

“Saya melakukan putt dengan sangat baik hari ini,” katanya. “Saya melakukan banyak putt yang saya sendiri tidak jangka dapat lakukannya.” - AFP

Disiarkan pada: April 20, 2018 @ 7:12pm
d