arena

Atlet Podium mampu tuai hasil

Oleh Haika Khazi

PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Imran Tuanku Ja'afar optimis atlet Program Podium mampu memenuhi misi menuai pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik Tokyo 2020 biarpun gagal memperagakan aksi terbaik di Sukan Komanwel Gold Coast. 

Justeru, Tunku Imran berharap Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Sukan Negara (MSN) dan persatuan sukan kebangsaan dapat duduk semeja bagi mengenal pasti dan mencari kaedah terbaik bagi memastikan atlet Program Podium mencapai sasaran ditetapkan di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Saya rasa Program Podium yang sudah dilaksanakan sejak dua tahun lalu bagus tetapi kita kena akui juara tidak boleh dilahirkan dalam satu malam dan ia mengambil masa panjang serta memerlukan banyak pembaharuan dari semasa ke sama.

"Bagaimanapun, saya tetap percaya Program Podium mampu melahirkan ramai atlet muda yang boleh bersaing di peringkat tertinggi dan mempunyai peluang besar untuk menang pingat menjelang Sukan Olimpik 2020 nanti," katanya pada sidang media sempena penganjuran Asia Pacific Games di Biro Pelancongan Malaysia di sini, hari ini.

Terdahulu, Program Podium yang dikendalikan ISN menjadi sasaran kritikan selepas hanya mampu membawa pulang tujuh pingat emas dari Gold Coast dan gagal mencapai sasaran berada dalam kelompok 10 terbaik di sebalik persiapan dan perbelanjaan besar sejak dilaksanakan dua tahun lalu.

Turut mengkritik program itu ialah 'arkitek' disebalik kejayaan bersejarah kontinjen negara di Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 (KL '98), Datuk Mazlan Ahmad yang mendesak supaya MSN mengambil alih program itu.

Dalam pada itu, Tunku Imran menegaskan beliau tidak menghalang mana-mana individu dan pemimpin persatuan sukan yang berminat bertanding jawatan tertinggi MOM pada pemilihan badan induk itu, 5 Mei ini.

"Terpulang kepada individu dan tokoh yang mahu bertanding namun apa yang boleh saya katakan tugas di MOM memang banyak dan memerlukan kerja keras," katanya yang tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan itu.

Disiarkan pada: April 20, 2018 @ 10:07pm
d