arena

Gavin, Siti Safiyah Olahragawan, Olahragawati Selangor

Oleh Faliq Lajim

ATLET Golf, Gavin Kyle Green dan atlet Tenpin Boling, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dinobatkan Olahragawan / Olahragawati Selangor, sebentar tadi.

Kedua-dua atlet berkenaan menerima wang tunai RM10,000 dan juga trofi pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor (ASNS) 2017.

Anugerah Olahragawan / Olahragawati Harapan pula dirangkul dua atlet renang akuatik, Ng Jing Fu serta Angelina Chan dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM5,000 (sijil simpanan premium) berserta trofi.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan Anugerah Sukan Negeri Selangor (ASNS) 2017 kepada semua pemenang.

Pada majlis anjuran Majlis Sukan Negeri Selangor untuk menghargai ahli sukan yang mengharumkan nama negeri dalam bidang sukan, dua atlet Selangor yang melakar kejayaan di Sukan Komanwel Gold Coast 2018 turut menerima insentif.

Gimnas negara, Amy Kwan Dict Weng menerima insentif kemenangan sebanyak RM24,000 serta trofi selepas berjaya menyumbangkan satu emas, satu perak dan dua gangsa di Gold Coast 2018, baru-baru ini.

Turut menerima insentif serta trofi, atlet Boling Padang, Emma Firyani Saroji yang membawa pulang wang tunai RM6,000 apabila memenangi satu emas di temasya kedua terbesar dunia itu.

Sementara itu, menerusi perutusan khas, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan mengucapkan tahniah dan syabas kepada kedua-dua atlet berkenaan.

Perutusan itu dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan negeri, Amirudin Shari.

Sultan Selangor bertitah, baginda berbangga dengan pencapaian atlet dari Selangor yang sudah mengharumkan nama negara dan juga negeri.

Baginda turut berharap agar atlet Selangor yang lain dapat terus berusaha mencapai kejayaan lebih cemerlang pada masa depan.

Seramai 28 atlet Selangor mengambil bahagian dalam 13 jenis acara sukan di Gold Coast yang berakhir minggu lalu.

Olahragawan : Gavin Kyle Green (Golf)

Olahragawati : Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman (Tenpin Bowling)

Olahragawan Harapan : Ng Jing Fu (Akuatik - Renang)

Olahragawati Harapan : Angelina Chan (Akuatik - Renang)

Tokoh Kepimpinan Sukan : Pengerusi Majlis Sukan Daerah Sepang, Datuk Puasa Md Taib

Pasukan Terbaik : Perahu Layar Acara International 470

Jurulatih Terbaik : S Prem Kumar (Karate-Do)

Disiarkan pada: April 21, 2018 @ 12:14am
d