arena

Gladbach mudah benam Wolfsburg

Oleh Reuters

BERLIN: Borussia Moenchengladbach mudah mengatasi VfL Wolfsburg 3-0 untuk menghidupkan kembali harapan mereka kembali ke kancah bola sepak Eropah musim depan, manakala Wolves terus diancam penyingkiran ketika saingan Bundesliga berbaki tiga perlawanan.

Gladbach hanya memerlukan satu babak untuk memastikan kemenangan kedua dalam tujuh perlawanan dengan jaringan Lars Stindl dan Raffael sebelum Christoph Kramer meledak gol ketiga sebelum rehat menerusi sepakan percuma yang diambil dengan pantas.

Pasukan tuan rumah itu kini mengumpul 43 mata di tangga kelapan, tiga di belakang tangga keenam yang menjanjikan tiket ke Liga Europa.

Wolfsburg, juara pada tahun 2009, kekal di tangga ke-14 dengan 30 mata, berkongsi dengan Mainz 05 di tangga ke-15 dan Freiburg ke-16, yang akan beraksi untuk playoff penyingkiran.

Freiburg akan bertandang ke laman Hamburg SV yang berada di tangga ke-17 hari ini manakala Mainz ke Augsburg esok.

Juara Bundesliga Bayern Munich bertemu Hanover hari ini menjelang perlawanan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Real Madrid minggu depan.

 

Disiarkan pada: April 21, 2018 @ 9:40am
d