arena

Tiada lagi Kuantan FA

Oleh Aziman Rosdi

GARA-gara tidak turun beraksi menentang PDRM dalam aksi Liga Perdana di Stadium Shah Alam 15 April lalu, Kuantan FA terpaksa menerima padah apabila digugurkan penyertaan dalam Liga Malaysia 2018 berkuat kuasa serta merta hari ini.

Keputusan itu diumumkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang melihat tindakan kelab bermasalah itu tidak hadir pada perlawanan dan tidak memaklumkan kepada sekretaruat MFL satu kesalahan yang berat dalam peraturan Liga-M.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengarah MFL itu turut mendapat sokongan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Pihak MFL dan Kuantan FA sentiasa berhubung dari masa ke semasa. Tidak hadir ke perlawanan dengan tidak memaklumkan kepada sekretariat adalah satu kesalahan yang besar dilakukan oleh mereka.

“Pelanggaran peraturan ini bukan sahaja melibatkan kos liga, malah menjejaskan kos operasi pihak lawan dan juga penaja-penaja yang telah melabur jutaan ringgit kepada mereka. Jadi keputusan untuk menggugurkan mereka ini dari liga adalah satu keputusan yang tepat.” katanya.

Kuantan FA yang memiliki masalah pembayaran gaji pemain musim ini mencetuskan kontroversi apabila mereka tidak hadir pada perlawanan menentang PDRM sehingga pasukan tuan rumah diberikan kemenangan percuma 3-0.

Menurut Kevin, pihaknya sudah melakukan pelbagai usaha dalam membantu Kuantan FA menyelesaikan masalah namun ia tidak berhasil.

“Pihak Kuantan FA sebelum ini telah berhubung dengan pihak MFL berkenaan beberapa isu yang perlu diselesaikan. Beberapa mesyuarat juga telah dibuat bagi membantu pasukan Kuantan FA ini.

“Pada tahun 2018, sebanyak empat mesyuarat telah dibuat di antara Kuantan FA dan juga pihak MFL. Beberapa peluang telah dikemukakan oleh MFL bagi menyelesaikan masalah yang dibelenggu oleh pasukan tersebut,” katanya.

Disiarkan pada: April 21, 2018 @ 11:34am
d