arena

Selamat jalan Flores

Oleh AFP

MADRID: Kelab yang sedang bergelut di saingan La Liga, Espanyol memecat pengendalinya Quique Sanchez Flores dan Pengarah Sukan, Jordi Lardin berikutan prestasi buruk, umum kelab itu.

“Kelab membuat keputusan ini kerana prestasi buruk pasukan utama serta mahu meraih keputusan sebaik mungkin pada baki perlawanan selepas ini serta persiapan terbaik untuk musim 2018-2019,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.

Sanchez Flores, 53, dilantik selaku pengurus Espanyol pada Jun 2016 selepas kelab itu diambil alih oleh pelabur dari China.

Dia membantu kelab Catalan itu menamatkan saingan La Liga di kedudukan kelapan musim lalu, penamat terbaik sejak lebih sedekad.

Bagaimanapun, dengan berbaki lima perlawanan, Espanyol kini terperosok di tangga ke-16 sekali gus berdepan ancaman untuk tersingkir daripada saingan La Liga.

Kekalahan 1-0 di tangan Eibar, Rabu lalu yang disaksikan kira-kira 12,000 penyokong menjadi penentu nasib Sanchez Flores. Espanyol turut gagal untuk mencatat kemenangan atau menjaringkan gol dalam lima perlawanan terakhir.

Sanchez Flores sebelum ini menjadi pengurus kelab England, Watford dan menolak tawaran Stoke City untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris pada awal tahun ini.

Lardin, 44, yang beraksi untuk Espanyol, Atletico Madrid dan Sepanyol, dilantik selaku Pengarah Sukan pada penghujung tahun 2016.

Jurulatih pasukan simpanan, David Gallego akan memangku tugas jurulatih.  

Disiarkan pada: April 21, 2018 @ 1:25pm
d