arena

Idam kemenangan sebagai hadiah

Oleh Azizan Hashim

AMIRUL Azhan Aznan yang akan diijabkabulkan hari ini berharap rakan sepasukan dapat melayakkan diri ke separuh akhir Piala FA, malam ini sebagai hadiah perkahwinannya.

“Tiada hadiah paling istimewa selain kami mara ke separuh akhir Piala FA kali ini,” kata tonggak benteng Perak itu.

Azhan, 24 akan diijabkabul dengan pasangannya, Norfarahin Mohd Isa di rumah pengantin perempuan di Pulau Lumut, Selangor selepas solat Zohor hari ini.

Berikutan itu pemain kebangsaan itu direhatkan oleh jurulatih Mehmet Durakovic untuk pertemuan suku akhir kedua Piala FA menentang PKNS FC di Stadium Perak, malam ini. Perak tewas 2-1 pada pertemuan pertama.

“Saya memang ingin sangat beraksi perlawanan ini dan sanggup balik ke Ipoh selepas majlis akad nikah,” kata Amirul.

“Bagaimanapun saya membatalkan niat itu mengenangkan ada majlis diadakan pada sebelah malam ini pula.

“Apapun doa saya mengiringi perjuangan dan misi rakan untuk menggapai impian meneruskan kemaraan kami, malam ini.”

Dia akan menyertai latihan bersama pasukan pada Selasa sebelum bercuti semula sempena majlis kenduri pihak lelaki pada 28 April ini di Ipoh.

“Saya akan tetap bermain apabila kami bertemu Kuala Lumpur di Ipoh pada 29 April ini,” katanya.

Selain Amirul, Perak juga tidak dapat menurunkan kapten, Shahrul Mohd Saad, malam ini kerana penggantungan.

Disiarkan pada: April 21, 2018 @ 1:32pm
d