arena

Akibat leka JDT tersungkur

Oleh Rizar Mohd Noor

PERIT untuk menerima kekalahan namun pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT) Raul Longhi menyifatkan kekalahan 3-0 di tangan Pahang pada aksi suku akhir kedua Piala FA malam tadi, satu suratan yang tidak dapat dielak.

Menurutnya, kesebelasan utama JDT yang diturunkan memberi komitmen 100 peratus dalam perlawanan itu tetapi nasib tidak menyebelahi pasukan dan terpaksa akur dengan kekalahan itu.

Kegagalan benteng pertahanan beraksi dengan tenang dan begitu mudah membuka ruang kepada pemain Pahang menyebabkan pasukan lawan mudah mencipta jaringan pada babak pertama dan gol kedua bagaikan memusnahkan harapan pasukannya untuk bangkit.

“Ia perlawanan berbeza dengan saingan Liga Super dan anda sendiri lihat, Pahang tampil dengan corak permainan pantas serta cepat menghukum benteng pertahanan JDT,” kata Longhi.

“Malam ini (malam tadi) mereka tidak beraksi dengan konsisten dan selepas membiarkan lawan menjaringkan gol kedua ia nyata mematahkan semangat pemain kami.

“Pemain Pahang ambil kesempatan dengan corak serangan balas menerusi bola umpanan jauh dan apabila benteng kami sedikit leka mereka berjaya menjaringkan gol.”

Menurutnya, itulah bola sepak jika ada pemain leka pasukan itu akan dihukum.

Ditanya berkenaan Safiq Rahim yang hanya dimasukkan pada babak kedua, Longhi menjelaskan percaturan menentang Pahang lebih terarah menurunkan barisan sama yang menewaskan PKNS FC, Sabtu lalu.

“Kesebelasan pemain yang beraksi ketika menewaskan PKNS FC mempamerkan aksi terbaik dan sebab itu saya mengekalkan kesebelasan pemain dalam perlawanan menentang Pahang.

“Bagaimanapun, mereka gagal mengekalkan prestasi dan tidak beraksi dengan baik. Apa yang berlaku sudah menjadi sejarah, kami perlu teruskan perjuangan pada saingan liga memandangkan ia sasaran utama.

“Kami perlu kembali fokus bagi menempuh perlawanan akan datang untuk menjuarai Liga Super,” katanya.

Disiarkan pada: April 21, 2018 @ 2:31pm
d