arena

Chiew Sien-Sueh Jeou ke final

Oleh Fabian Mark Peter

SALAH satu kejuaraan sudah sah menjadi milik negara tetapi pada masa sama, Malaysia mampu menyapu bersih semua kategori menjelang aksi akhir Cabaran Antarabangsa Malaysia esok.

Kali terakhir Malaysia menyapu bersih semua lima kategori di kejohanan itu ialah pada 1998.

Hari ini, pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berjaya memberikan aksi meyakinkan di separuh akhir yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara termasuk Lim Chiew Sien-Tan Sueh Jeou dan Soong Fie Cho-Tee Jing Yi, selepas kedua-duanya bakal bertemu sesama sendiri dalam saingan akhir beregu wanita.

Chiew Sien-Sueh Jeou mara ke perlawanan akhir buat kali kedua berturut-turut (selepas Siri Antarabangsa Indonesia minggu lalu) musim ini, apabila menumpaskan pilihan keempat dari Singapura, Putri Sari Dewi Citra-Jin Yujia 21-19, 21-12, manakala Fie Cho-Jing Yi pula menumpaskan wakil Hong Kong, Ng Tsz Yau-Yuen Sin Ying 21-11, 21-15.

Sementara itu, dalam saingan perseorangan lelaki, Tan Jia Wei berjaya mengetepikan juara remaja dunia dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn 21-17, 21-15, diikuti perseorangan wanita, Lee Ying Ying menghidupkan peluang untuk disenaraikan ke Piala Uber apabila menang 21-7, 10-21, 21-17 ke atas pilihan utama Hanna Ramadini (Indonesia).

“Saya berasa sangat gementar sebelum perlawanan, kerana pernah tumpas kepadanya sebelum ini. Menang ke atasnya membolehkan saya membalas dendam. Saya tidak dapat jangka untuk aksi esok tapi berharap mampu untuk meraih kejuaraan dan mengesahkan slot ke Piala Uber,” kata Ying Ying yang turut mara ke perlawanan akhir Cabaran Antarabangsa Iran, Februari lalu.

Jia Wei yang berjaya merangkul kejuaraan Terbuka Poland tahun lalu, akan berdepan wakil Taiwan, Hsueh Hsuan Yi sementara Ying Ying pula bakal berdepan Wang Zhiyi dari China.

Dalam saingan separuh akhir beregu lelaki, pemain muda Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya mengetepikan rakan senegara yang juga juara bertahan, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani 21-18, 22-24, 21-13, untuk mara ke perlawanan akhir ketiga mereka.

Mereka dijangka berdepan halangan sukar di perlawanan akhir apabila menentang bekas juara dunia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia yang sebelum itu mengalahkan wakil negara, Chooi Kah Ming-Low Juan Shen 21-15, 21-13.

Dalam saingan separuh akhir beregu campuran, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei, berjaya mara ke perlawanan akhir selepas menang 21-13, 21-15 ke atas gandingan Malaysia-Indonesia, Azriyn Ayub-Devi Tika Permatasari.

Tang Jie-Yen Wei akan menentang Andika Ramadiansyah-Mychelle Crhystine Bandaso dari Indonesia yang sebelum itu mengejutkan pilihan kelapan Guo Xinwa-Liu Xuanxuan (China) 21-19, 13-21, 21-16.

Disiarkan pada: April 21, 2018 @ 8:15pm
d