arena

Salah lakar rekod jaringan

Oleh AFP

WEST BROMWICH: Mohamed Salah melakar rekod jaringan semusim bersama Liverpool namun gol penyamaan lewat permainan yang dijaringkan Salomon Rondon membolehkan West Bromwich Albion meraih keputusan 2-2, sebentar tadi.

Rondon menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-89 hasil sepakan percuma Chris Brunt untuk mereka bangkit daripada ketinggalan dua gol pada aksi di laman sendiri.

Anak buah Jurgen Klopp menunjukkan penguasaan dengan Salah berjaya menyamai rekod yang dilakukan Ian Rush apabila menjaringkan gol dalam 32 perlawanan berbeza semusim selain gol ke-31 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pemain sayap Mesir itu kini terikat untuk rekod jaringan terbanyak EPL dalam 38 perlawanan liga sekali gus menyertai Alan Shearer (1995-96), Cristiano Ronaldo (2007-08) dan Luis Suarez (2013-14).

Pada aksi menentang West Brom, Danny Ings meledak gol pertama buat The Reds yang juga jaringan sulungnya dalam tempoh 930 hari selepas menerima hantaran Georginio Wijnaldum seawal minit keempat.

Salah kemudiannya melebarkan jurang buat pelawat apabila meledak gol kedua pada minit ke-71 dan dia kini memiliki kelebihan lima gol mengatasi Harry Kane bagi perebutan anugerah Kasut Emas EPL.

Namun, Liverpool serta merta goyah ketika perlawanan memasuki 15 minit terakhir selepas Albion mengurangkan defisit menerusi jaringan Jake Livermore pada minit ke-78.

Albion yang masih segar dengan kenangan melakar kejutan ke atas Manchester United minggu lalu, kembali ‘bernyawa’ dan Rondon memastikan tuan rumah meraih satu mata apabila meledak gol penyamaan ketika perlawanan berbaki seminit.

Disiarkan pada: April 21, 2018 @ 10:19pm
d