arena

Boon Heong intai peluang wakili negara

Oleh Fabian Peter

BEKAS pemain badminton negara, Tan Boon Heong masih mengintai peluang untuk mewakili negara di kejohanan utama termasuk Piala Thomas meskipun sedar dia tidak mampu memberikan komitmen sepenuh masa.

Pemain berusia 31 tahun itu yang meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 2015 kini terikat dengan Yonex dan bakal bergandingan dengan bekas pemain beregu nombor satu dunia dari Korea Selatan, Yoo Yeon Seong untuk aksi Terbuka New Zealand dan Australia, awal bulan depan.

Jumaat lalu, bekas pasangan Boon Heong, Hendra Setiawan menyifatkan pemain itu sebagai aset berharga buat skuad kebangsaan menjelang aksi Piala Thomas di Bangkok, bulan depan.

Malah, pemain berusia 33 tahun itu yang juga juara dunia tiga kali serta pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2008 menamatkan gandingannya bersama Boon Heong dan kembali menyertai Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI) untuk memperkasa beregu lelaki menjelang aksi Piala Thomas serta Sukan Asia.

Boon Heong ketika dihubungi berkata: “Secara jujur, saya masih mahu mewakili negara. Namun, memandangkan saya terikat dengan komitmen terhadap penajaan peribadi, saya tidak boleh menyertai BAM untuk jangka masa panjang.

“Sebab itulah saya menolak tawaran mereka baru-baru ini. Namun, tiada perkembangan baru jadi saya tidak tahu sama ada saya masih dipertimbangkan untuk Piala Thomas atau tidak.

“Semuanya terpulang kepada BAM tetapi jika khidmat saya diperlukan, saya sentiasa bersedia.”

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai menjelaskan: “BAM masih belum membuat sebarang keputusan, jadi semuanya masih terbuka.

“Jurulatih kita memantau perkembangan semua pemain termasuk yang bersama BAM mahupun yang berada di luar.

“Apa yang saya mahu katakan adalah bagi mewakili negara, kami menjangkakan beberapa kualiti dari pemain termasuklah pengorbanan mereka dari segi masa dan juga komitmen mahupun persetujuan penajaan.

“Bagi beregu, ia tidak mudah. Pemain perlu berlatih bersama untuk melihat kombinasi yang terbaik.

“Buat masa ini, tiada keputusan yang dibuat namun mesyuarat akan diadakan pada Mei untuk mengeluarkan senarai muktamad, jadi pemain akan tahu sama ada mereka dipilih ataupun tidak.”

Disiarkan pada: April 22, 2018 @ 12:53am
d