arena

Drop Shot: Beregu kedua jadi rebutan

Oleh Datuk Seri Jalani Sidek

Melihat pencapaian pada Sukan Komanwel Gold Coast 2018, tertanya-tanya saya bagaimanakah agaknya prestasi pasukan negara pada Piala Thomas di Bangkok, bulan depan.

Meskipun saingan di Gold Coast membabitkan acara berpasukan campuran yang menyaksikan kita tewas kepada India pada perlawanan akhir, ia sedikit sebanyak memberi gambaran awal bagaimana situasi kem Piala Thomas negara di Bangkok nanti.

Sebab itu saya fikir pemilihan pemain untuk ke Piala Thomas amat penting. Kalau silap pilih tidak mustahil Malaysia tersingkir awal sekali gus gagal mengulangi pencapaian mara ke separuh akhir seperti dua tahun lalu di Kunshan, China.

Bagi barisan pemain perseorangan, saya rasa sudah mendapat congakan siapa yang akan membarisi skuad negara. Pastinya Datuk Lee Chong Wei akan mengisi slot perseorangan pertama, diikuti Lee Zii Jia dan kemudiannya Iskandar Zulkarnain Zainuddin. Hanya perseorangan keempat saja akan menjadi rebutan.

Manakala dalam acara beregu, saya fikir jurulatih negara, Cheah Soon Kit akan memilih Goh V Shem-Tan Wee Kiong selaku beregu utama negara. Yang menjadi persoalan mungkin siapakah beregu kedua. Saya lihat ia membabitkan persaingan antara Teo Ee Yi-Ong Yew Sin serta Nur Izzuddin Mohd Rumsani-Goh Sze Fei.

Kalau tanya saya, biarlah Soon Kit memilih salah satu antara dua beregu ini. Kekuatan skuad negara masih lagi dalam acara perseorangan dengan kita mengharapkan V Shem-Wee Kiong dapat mempamerkan aksi konsisten untuk meraih satu mata daripada acara beregu.

Diundi dalam Kumpulan D bersama Russia, Algeria serta juara bertahan, Denmark, hakikatnya kita tidak berdepan masalah untuk mara ke suku akhir.

Cuma Denmark yang menjadi halangan utama untuk muncul juara kumpulan.

Apa pun, kita harus menerima hakikat skuad yang akan tampil di Bangkok kali ini tidak mungkin sekuat edisi terdahulu kerana Malaysia bukan lagi diletakkan selaku pasukan pilihan.

Namun ia seharusnya tidak melunturkan semangat setiap pemain negara. Sebaliknya Malaysia perlu menggunakan kelebihan selaku pasukan berstatus underdog.

Status pilihan atau tidak bagi saya itu tidak penting. Kalau semangat sudah berkobar-kobar, apa saja rintangan mampu di atasi. Sejarah kejayaan kali terakhir 1992 sudah terlalu lama.

Sampai saya pun sudah terlalu berusia sekarang. Ayuh cipta sejarah baru. Jumpa lagi!

Disiarkan pada: April 22, 2018 @ 5:10am
d