arena

Adam tak menjadi

Oleh Fadhli Ishak

BARISAN pelumba Moto2 dan Moto3 negara mempamer prestasi kurang memberangsangkan pada sesi kelayakan Grand Prix Amerika di Circuit of Americas, awal pagi tadi.

Pada saingan Moto3, Adam Norrodin yang menamatkan perlumbaan di tempat kelima bulan lalu di Argentina, sekadar berjaya meraih petak ke-25 selepas mencatat 2 minit 21.167 saat (s), ketinggalan 2.538s di belakang Jorge Martin yang menyambar petak pertama.

Adam mengakui ia bukanlah keputusan yang dimahukannya tetapi tetap berusaha untuk mengutip mata pada perlumbaan awal pagi esok.

“Sesi kelayakan hari ini sangat sukar. Saya sedar memang tidak mempunyai kepantasan di litar kering dan apabila terpaksa beraksi di litar basah pada sesi kelayakan, ia semakin menyukarkan saya,” kata pelumba PETRONAS Sprinta Racing itu.

“Esok pastinya sangat sukar tetapi saya tidak boleh berputus asa. Saya perlu bekerja keras kerana akan bermula dari petak belakang.

“Saya mahu meraih mata dan akan berusaha sebaik mungkin. Saya tidak mahu menamatkan perlumbaan di kelompok belakang tanpa berbuat apa-apa,” katanya.

Dalam saingan Moto2, pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin (SIC Racing Team) terus mempamer tungangan hambar apabila sekadar mencatat masa terpantas 2:13.944s untuk bermula di petak ke-31.

Khairul Idham Pawi (Idemitsu Honda Team Asia) pula akan bermula di petak ke-25 selepas mencatat 2:12.348s.

Disiarkan pada: April 22, 2018 @ 12:12pm
d