arena

Nishikori nekad sekat Nadal

Oleh AFP

MONTE CARLO: Kei Nishikori percaya dia boleh mencari jalan untuk menewaskan Rafael Nadal pada final Masters Monte Carlo, tetapi mengakui juara 10 kali itu berada pada tahap terbaiknya.

Pemain nombor satu dunia, Nadal menang 6-4, 6-1 ke atas Grigor Dimitrov pada aksi separuh akhir semalam, manakala Nishikori dari Jepun bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan pilihan ketiga Alexander Zverev.

Hanya tiga pemain pernah menewaskan Nadal di Monte Carlo, di mana dia memegang rekod menang-kalah 67-4.

“Saya pasti ada cara untuk mengalahkannya. Tetapi, anda tahu, melihat permainannya minggu ini, ia kelihatan sedikit sukar,” kata Nishikori.

“Saya harap saya dapat menemuinya, cara untuk mengatasinya. Di atas tanah liat dialah raja. Jadi saya akan membincangkannya dengan jurulatih saya malam ini.”

Nadal yang memburu untuk menjadi pemain pertama merangkul 11 gelaran di kejohanan sama sepanjang era Terbuka, melebarkan rekodnya selepas menjulang kejuaraan ke-10 di Monte Carlo, Barcelona dan Terbuka Perancis tahun lalu.

Tetapi pemain Sepanyol itu menegaskan dia bukan pilihan utama secara automatik apabila beraksi di atas gelanggang tanah liat, walaupun memenangi 34 set berturut-turut di atas permukaan itu.

“Saya tidak peduli jika saya pilihan utama atau tidak,” kata Nadal yang memerlukan kejuaraan ini untuk kekal di hadapan Roger Federer dalam ranking dunia.

“Saya turun ke gelanggang, saya akan cuba sebaik mungkin. Tidak kira sama ada saya pemain pilihan atau tidak.”

 

Disiarkan pada: April 22, 2018 @ 12:46pm
d