arena

Sathianathan tuntut benam FELCRA

Oleh Rodly Fadly

PENGENDALI FELDA United, B Sathianathan menuntut anak buahnya membuktikan mereka layak berada dalam pasukan apabila turun menentang FELCRA United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam esok.

Sathia yang jelas kecewa dengan prestasi sebahagian besar pemainnya ketika kalah 1-2 kepada PKNP FC pada suku akhir kedua Piala FA, Jumaat lalu, sekali gus gagal ke separuh akhir, mahu mereka segera bangkit untuk menebus kegagalan itu.

“Hanya tiga pemain iaitu Shukor (Adan), Wan Zack (Haikal Wan Nor) dan P Prabakaran yang menunjukkan tahap sebenar dalam perlawanan itu. 

Selebihnya, termasuk pemain import sangat mengecewakan.

“Saya mengingatkan mereka, jika mahu terus berada dalam pasukan, tingkatkan prestasi bermula perlawanan menentang FELCRA esok kerana cabaran selepas ini lebih hebat.

“Kami sudah terlepas Piala FA, saya mahu pemain memastikan FELDA muncul juara Liga Perdana dan cuba memenangi Piala Malaysia,” ujar Sathia.

Sementara itu Sathia tetap mempertahankan tindakannya mempersoalkan tindakan pengadil yang memberi masa tambahan hanya lima minit walaupun perlawanan kerap terhenti kerana kecederaan. 

“Saya sudah meneliti video perlawanan itu dan menurut kiraan saya pengadil sepatutnya memberi masa tambahan selama 12 minit 36 saat termasuk ketika perlawanan terhenti dalam masa tambahan.

“Malah, semalam, dalam perlawanan antara Manchester United menentang Spurs (Tottenham Hotspur), pengadil memanjang tempoh masa kecederaan kepada 6 minit 36 saat walaupun waktu tambahan sebenarnya adalah lima minit.

“Ia mengambil kira kecederaan yang berlaku pada masa tambahan tersebut. Perkara inilah yang saya bangkitkan serta mahukan penjelasan demi meningkatkan mutu pengadilan kita.”

Menurut Sathia, beliau akan mengemukakan pandangan serta bukti video kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk dikaji serta diambil tindakan mengenai isu itu.

“Saya tidak berniat menyalahkan pengadil atau mengkritik mereka atas kekalahan pasukan saya, cuma mahukan penjelasan bagaimana cara tempoh masa tambahan ini diberi, mungkin saya silap,” kata Sathia.

Disiarkan pada: April 22, 2018 @ 7:14pm
d