arena

Swansea gagal sekat City

Oleh AFP

MANCHESTER: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola enggan memikirkan insiden menceroboh padang yang menjadi perhatian Persatuan Bolasepak Inggeris (FA) ketika pasukannya melakar kemenangan 5-0 ke atas Swansea dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.

Ketika wisel penamat ditiupkan, ratusan peminat City memasuki padang di sebalik usaha keras pasukan keselamatan selain pengumuman yang dibuat menerusi pembesar suara di Stadium Etihad.

Sekurang-kurangnya satu suar dinyalakan oleh peminat dengan pasukan keselamatan bergegas untuk mengeluarkan pemain daripada padang dengan kapten, Vincent Kompany dan pemain Perancis, Benjamin Mendy menjadi pemain terakhir menuju ke bilik persalinan.

Tiada sebarang ancaman membabitkan keselamatan tetapi Mendy - yang membuat penampilan sulung selepas tujuh bulan - sebagai pemain gantian juga turut dilihat melompat dan menyertai peminat City meraikan kejayaan pasukan itu menjuarai EPL.

Begitupun berdasarkan peraturan ketat FA, insiden berkenaan akan disiasat oleh badan induk itu dan berdasarkan kes terdahulu, kelab divisyen tiga Wigan pernah dikenakan tindakan berikutan tindakan penyokong mereka ‘menceroboh’ padang susulan kemenangan ke atas City dalam saingan Piala FA pada Februari lalu.

Guardiola begitupun tetap bertenang.

“Tiada masalah,” katanya. “Bola sepak adalah sukan yang emosi. Saya memahami yang kamu perlu berhati-hati, tetapi mereka rasa mereka mahu berkongsi perasaan yang mereka juga gembira.

“Lebih baik jika mereka kekal di mana mereka berada tetapi saya tidak akan memberitahu mereka untuk tidak melakukannya.

“Jika mereka gembira, saya suka untuk berada rapat dengan pasukan. Mereka menunjukkan betapa gembiranya mereka dan ia adalah perkara paling indah. Peminat-peminat di sini amat gembira.”

Pada perlawanan itu, City hanya memerlukan 11 minit untuk meledak gol pertama menerusi David Silva diikuti jaringan Raheem Sterling empat minit kemudian.

City kemudian menambah tiga lagi gol pada babak kedua menerusi Kevin De Bruyne (m54)  Bernardo Silva (m64)  dan Gabriel Jesus pada minit ke-88.

Disiarkan pada: April 23, 2018 @ 7:43am
d